fbpx
FARID tidak mahu lagi menaruh harapan kepada Diana agar dapat mengekalkan ikatan perkahwinan mereka.

‘Kami tak boleh berkawan, tiada lagi pujuk rayu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – “Saya rasa dengan situasi (semasa) ini, kami tak boleh berkawan lagi, saya tak terfikir dan saya tak rasa pun akan berlaku. Cuma paling pen­ting adalah anak-anak saya. Mereka lebih utama.”

Itu kata pelakon dan pengarah Farid Kamil yang mengakui berlapang dada menerima apa jua keputusan membabitkan sebutan kes perceraian dengan aktres Diana Danielle di Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur pada 24 Mac ini.

Tenang menunggu keputusan mahkamah, Farid atau nama sebenarnya, Farid Kamil Zahari, 43, berkata, berdasarkan kea­daan semasa tidak mungkin dia dan Diana akan berkawan lagi selepas ini.

Farid turut menegaskan tiada lagi pujukan atau kata-kata rayuan untuk isterinya bagi mengekalkan ikatan perkahwinan mereka seperti yang diharapkan sebelum ini.

“Benda sudah tertulis dan pernah dilalui (proses perceraian), cuma sekarang yang perlu dibuat adalah kena hadapi (keputusan) dengan penuh keterbukaan dan reda.

“Saya rasa untuk kali kedua (bercerai), saya berserah kepada yang Maha Esa masalah perkahwinan dan komunikasi antara kami.

“Berdoa, itu sahaja saya buat. Tiada sesi pujukan, tak keluar duit dan tak beli apa pun sebab apa lagi yang boleh saya berikan setelah dia menghancurkan hadiah hari jadinya tempoh hari,” katanya kepada Kosmo!.

Pengarah filem Rempit 2 itu bersyukur apabila masih berpeluang bertemu permata hati dan dua kali dapat berbuka puasa dengan Muhammad, 12, dan Nur Aurora, 10.

GAMBAR fail menunjukkan Farid membawa sejambak bunga untuk memujuk Diana ketika tiba di Mahkamah Rendah Syariah Petaling pada 28 Mac 2023.

“Alhamdulillah, saya dapat berbuka puasa dengan mereka, malah berpeluang solat tarawih bersama-sama.

“Kalau hubungi anak-anak untuk habiskan masa dengan mereka sahaja, saya enggan menaruh harapan sebab tahu mungkin ibu mereka sudah ada perancangan lain pada waktu sama.

“Jadi apabila dapat bawa mereka keluar, saya sudah cukup bersyukur. Sebagai bapa tentu anak-anak yang saya utamakan kerana mereka ini amanah Allah,” katanya.

Ditanya persediaan ke mahkamah, katanya, pada sebutan kes permohonan perceraian dibuat isterinya kali ini, dia tidak akan melibatkan orang tuanya.

“Masalah saya ini tiada siapa pun jadi rujukan untuk saya lihat melainkan diri sendiri. Kali ini saya tidak mahu libatkan ibu bapa kerana apabila saya kahwin, itu keputusan yang saya buat.

“Saya tidak mahu mereka susah hati. Mereka tahu perkembangan saya, tetapi saya tidak bercerita lebih mendalam.

“Perkara ini (soal jodoh) sudah tertulis dan saya kena hadapi dengan tenang. Kalau ‘sa­kit’ pun kita perlu jalan terus,” katanya.

Terdahulu, Diana membuat permohonan perceraian kali kedua, namun pada 15 Disember tahun lalu, Mahkamah Rendah Syariah Kuala Lumpur meme­rintahkan pasangan berkenaan melantik wakil Jawatankuasa Pendamai (JKP) selepas Farid enggan melafazkan talak.

Diana memfailkan perceraian kali kedua itu pada 4 November 2024 atas alasan tiada lagi persefahaman dan perbalahan yang panjang.

Sebelum ini, mereka pernah bercerai talak satu pada 10 Ogos tahun yang sama, tetapi rujuk kembali sebulan kemudian.

Mahkamah selepas itu me­netapkan 24 Mac ini sebagai tarikh sebutan semula kes serta hasil laporan JKP.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN