fbpx
Salah sebuah lori balak yang didakwa mengeluarkan bunyi bising dan bingit ketika melalui kawasan Kampung Pagi di Jerantut sejak awal tahun ini.

Bunyi bingit lori balak ganggu ibadat Ramadan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JERANTUT – Keriangan penduduk menghidupkan malam bulan Ramadan terganggu dengan bunyi bising lori balak yang menggunakan jalan berdekatan masjid dan rumah sehingga ke awal pagi di Kampung Pagi di sini.

Penduduk mendakwa, bunyi bising dan bingit itu berlarutan sejak awal tahun ini dan mereka turut bimbang mengenai ke­selamatan kerana kenderaan itu dipandu laju di kawasan kampung.

Imam Satu Masjid Kampung Pagi, Mi Hamidi Nipah, 56, berkata, lori balak lebih kerap ulang-alik pada bulan Ramadan hingga mengganggu ketenteraman penduduk ketika menunaikan solat dan tadarus al-Quran.

Katanya, lebih kurang 15 buah lori balak melalui jalan kampung itu antara pukul 8 malam hingga 3 pagi sepanjang Ramadan.

“Deruman enjin lori yang kuat dan bingit mengganggu para jemaah di sini mengerjakan solat maghrib, isyak dan tarawih serta tadarus al-Quran yang diadakan sepanjang malam bulan ini.

“Kedudukan masjid kampung ini yang terletak kira-kira 30 meter dengan jalan menyebabkan suasana seperti gegak-gempita akibat deruman enjin lori muatan berat mendaki melalui depan masjid dan mendaki bukit berdekatan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.

Shahradin A. Karim, 55, pula berkata, setiap lori membawa le­bih 20 batang batang balak di dua buah ‘bucket’ besar melalui jalan berdekatan rumah penduduk, masjid, kedai, rumah inap desa, klinik kesihatan dan sekolah rendah.

“Sepatutnya, pengusaha ber­kenaan memadai memunggah keluar balak pada waktu siang dan memberhentikan operasi pada waktu malam untuk keselesaan penduduk berehat lebih lagi beribadat pada bulan Ramadan,” katanya.

“Kami berharap pihak berwajib mengambil tindakan segera berasaskan undang-undang lebih-lebih lagi sebahagian kenderaan itu dipercayai lebih berat muatan balak,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Zainuddin Nong, 58, berkata, deruman enjin lori balak berkenaan boleh didengari kira-kira enam kilometer di hujung kampung itu apatah lagi sangat kuat dan ­bingit bagi kalangan penduduk yang tinggal berdekatan jalan.

“Deruman enjin yang kuat menyebabkan rumah saya berdekatan jalan bergegar dan ketika itulah anak dan cucu yang tidur terkejut jaga serta ada yang menangis,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN