GALERI Puteh mempersembahkan pameran seni bertemakan ‘Puteh’ yang melambangkan kesucian, ketenangan dan refleksi diri, bertepatan dengan bulan Ramadan dan Syawal.
Pameran yang diberi tajuk Bufet Ramadan tersebut membuka ruang kepada seniman untuk menafsirkan makna kesucian dalam seni kontemporari.
Pameran itu menjadi unik kerana menampilkan sepenuhnya hasil karya artis visual tempatan dari pelbagai latar belakang dan aliran seni.
Menghimpunkan seniman muda serta yang telah mencipta nama, pameran ini menampilkan karya seni dalam pelbagai medium seperti catan 2D, kolaj, assemblage, batik, seni cetak, serta arca 3D.
Menurut pengasas Galeri Puteh, Nizam Rahmat, tema ini dipilih kerana ia menggambarkan elemen spiritual dan kontemplatif yang sering dikaitkan dengan bulan yang mulia ini.
“Bufet Ramadan bukan sekadar tajuk, tetapi melambangkan kepelbagaian juadah seni yang disajikan kepada pengunjung.
“Kami merupakan galeri pertama yang mengadakan pameran seni sempena Ramadan tahun ini, sekali gus menjadikannya lebih istimewa,” ujarnya kepada CitaRasa.
Seramai 50 orang artis terlibat dengan lebih 60 karya seni dipamerkan sehingga hujung bulan ini.

Para artis berkenaan telah disenarai pendek sejak akhir tahun lalu berdasarkan keunikan penyampaian serta persembahan seni mereka.
Selain menarik minat pencinta seni tempatan, pameran itu turut dirancang bagi menarik perhatian pelancong antarabangsa.
Berbeza dengan pameran seni komersial lain di Kuala Lumpur, acara pelancarannya menampilkan persembahan istimewa oleh Haqqani Maulid Ensemble. Haqqani Maulid Ensemble membawa 15 pemain kompang dan gendang serta bacaan selawat sekali gus sesuai dengan mood Ramadan.
Pameran itu dilancarkan pada 22 Februari lalu oleh Datuk M. Nasir yang turut menyumbangkan karya lukisannya bertajuk Tanya Sama itu Hud Hud.
Menurut Nizam, karya konseptual dan mistikal beliau menjadi salah satu daya tarikan utama, malah telah menarik lebih 200 pengunjung sejak hari pertama pembukaan.
“Kami menyediakan lawatan berpandu atau ‘curatorial walk-through’ bagi membantu pelawat, terutamanya mereka yang baru mengenali seni bertemakan Ramadan.
“Selain menikmati karya seni, pelawat juga berpeluang bertemu dengan artis serta menyertai perbincangan seni secara tidak formal,” jelasnya.
Pameran berkenaan turut menerima kunjungan artis dari Singapura, Jerman, dan Indonesia, serta pengunjung asing yang tertarik dengan promosi galeri melalui media dan rakan-rakan seni.
Galeri Puteh terletak di Eco City Mall, Kuala Lumpur dan boleh diakses menggunakan sistem transit aliran ringan (LRT) atau Komuter KTM.
Galeri beroperasi dari hari Selasa hingga Ahad, bermula pukul 10 pagi hingga 7 malam dan ditutup pada hari Isnin serta cuti umum.














