PETALING JAYA – Rata-rata pengguna membelanjakan lebih RM50 sehari bagi membeli pelbagai juadah berbuka puasa di bazar Ramadan dengan menu paling popular dicari adalah roti john dan ayam golek.
Tinjauan Kosmo! mendapati, bazar Ramadan menjadi lokasi tumpuan golongan bekerja kerana lebih mudah, cepat dan berbaloi bagi mendapatkan juadah berbuka puasa kerana tidak sempat memasak.
Seorang penjawat awam, Suhaina Mokhtar, 50, berkata, dia membelanjakan antara RM50 hingga RM70 setiap kali berkunjung ke bazar Ramadan di kawasan Hulu Langat dengan makanan pilihan kami sekeluarga adalah keria gula Melaka, kuih lopes dan dangai.
“Saya akan ke bazar empat kali seminggu dan kami sekeluarga suka mengunjungi bazar-bazar yang tular. Setiap kali ke sana, saya membelanjakan antara RM50 hingga RM70 dan semuanya untuk memenuhi kehendak anak-anak,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Sementara itu, seorang suri rumah, Rokimah Ibrahim, 36, berkata, setiap kali ke bazar, juadah yang dicari adalah kambing bakar, roti john cheese dan air soya.
“Saya hanya ke bazar Ramadan sekali seminggu dan kebiasaannya saya akan membelanjakan sekitar RM50,” ujar ibu kepada tiga anak itu.
Dalam pada itu, seorang pekerja swasta, Radzan Mad Naim, 23, berkata, dia berkunjung ke bazar Ramadan Bandar Tun Hussein Onn, Cheras empat kali seminggu selepas pulang bekerja dan menghabiskan kira-kira RM30.
“Masa terhad tidak sempat untuk masak. Selain menu utama makanan yang sering saya cari ialah roti john dengan dua inti iaitu ayam dan daging, martabak dan tiga jenis kuih. Jumlah perbelanjaan boleh cecah RM30 sehari,” katanya.
Sementara itu, Nur Adriana Sani, 22, yang tinggal di Bangsar dekat sini, berkata, dia membelanjakan RM20 setiap kali ke bazar dan bajet itu ditetapkannya untuk elak berbelanja lebih.
“Saya memang tidak sempat masak, selalu tiba di rumah 30 minit sebelum berbuka.
“Oleh itu saya akan cari makanan yang mudah seperti nasi goreng daging dan air balang yang dijual pada harga yang berpatutan,” katanya.
Berkongsi pengalaman sama, juruaudit, Daniel Adha Abdullah berkata, dia dan isterinya bekerja dan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk menyediakan juadah berbuka.
“Pilihan yang cepat untuk dapat makanan ialah ke bazar Ramadan. Selalunya, kami hanya belanja RM40 sahaja untuk ayam golek dan kuih-muih untuk elak daripada pembaziran dan makanan yang berlebihan,” katanya.






