fbpx
Penulis (kiri) sebenarnya sudah lama tidak ‘menamok’, kali ini memang betul-betul puas.

Amukan tamok di rumah rakit Telaga Nenas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Hujung minggu pertama bulan puasa baru-baru ini, saya berkesempatan membawa keluarga ke rumah rakit Gapis Aqua Games yang terletak di Telaga Nenas, Air Tawar, Perak. Selain memberi pengalaman kepada anak-anak suasana berpuasa di kawasan memancing, mereka juga dapat ‘menarik’ ikan yang sudah lama tidak dilakukan.

Kami sampai dalam pukul 10.30 pagi dan terus memunggah barangan ke dalam bot yang sedia menanti di jeti. Perjalanan mengambil masa lebih kurang 10 minit sahaja ke rumah rakit.

Rumah rakit ini sememangnya selesa untuk memancing. Kami membawa banyak set pancing untuk pelbagai fungsi. Ada untuk mengilat gewang, ada untuk pancingan dasar berumpankan udang atau ikan hidup, ada untuk pancingan pelampung dan tidak lupa set ultra-light untuk pan­cingan ikan-ikan kecil menggunakan umpan perumpun, udang kopek atau roti dengan pelampung.

Tamok

Target utama saya ke rumah rakit ini sebenarnya adalah memancing ikan tamok, sebab itulah saya memilih tarikh air mati. Ini bermakna, perubahan arus dari pasang ke surut dan ke pasang semula tidak terlalu ketara dengan keadaan arus yang sangat minimal kelajuannya.

Saya juga bersedia dengan bekalan umpan roti yang banyak sebagai ‘rasuah’ dan umpan untuk ikan tamok. Peralatan pancing yang digunakan juga set ultra-light bawah 10 paun dengan joran antara empat kaki setengah ke enam kaki panjang.

Kekili juga kecil, saiz antara 500 hingga 1,000 yang diisi dengan tali utama braided antara empat hingga 10 paun. Tali utama daripada monofilament tidak sesuai digunakan kerana kurang sensitif, terutamanya semasa hendak memastikan mata kail betul-betul dapat menancap ke mulut ikan tamok.

Rasuah

Air pada pagi itu dalam peng­hujung pasang. Sambil kami memancing dasar, roti yang telah dicarik-carik sentiasa dilemparkan untuk memujuk kumpulan tamok di kawasan sekitar supaya menghampiri. Hampir sejam juga merasuah, barulah kelihatan kumpulan tamok mula mengambil roti.

Set pancingan tamok disediakan dan umpan roti dihulurkan ke kawasan ikan tamok berkumpul.

Tidak menunggu lama, Daniel kena seekor yang kecil. Itu sudah satu petanda yang baik. Tidak lama kemudian, Nazreen kena seekor tamok bersaiz kasar.

Wah, saya berkira-kira kami akan bergasak, namun telahan saya tersasar. Suasana menjadi senyap. Rupa-rupanya bekalan rasuah terputus semasa semua orang kelam-kabut menyasarkan kumpulan tamok yang awal tadi. Patutlah ia lenyap.

Selepas itu, saya mengingatkan semua supaya kekal merasuah roti dan tidak perlu dilempar jauh, memadai di hadapan rumah rakit sahaja supaya kumpulan tamok bermain dekat. Sejam menunggu, kumpulan tamok menghimpit semula.

Kali ini, baru betul kami bergasak tamok, seekor demi seekor kami naikkan sehinggalah waktu berbuka.

Saiz juga kasar-kasar belaka melebihi sekilogram seekor. Mena­riknya, ada yang menghentam roti dalam jarak tak sampai empat kaki dari tepi rumah rakit dan boleh dilihat bagaimana ia naik, merapati roti bermata kail dan menelannya terus.

Hairan, kami cuba juga merasuah roti selepas waktu berbuka tetapi kumpulan tamok seolah-olah menghilang. Mungkin ia tidak aktif pada waktu malam sebagaimana lokasi-lokasi lain yang pernah saya pancing sebelum ini.

Selepas bersahur dan sebaik mentari pagi bersinar, kumpulan tamok kelihatan bermain di sekitar.

Kebetulan pula awal pagi itu arus mati. Roti rasuah dilemparkan dan ia kembali menghimpit rapat ke rumah rakit.

Sepertimana petang semalam, kami bergasak lagi sehingga penuh tong penyejuk 54 quarts. Banyak juga yang terlucut akibat sentapan terlalu awal dan terputus apabila ikan membenam sehingga bergeser dengan tali sauh penambat rumah rakit.

Tip pancing tamok

Mulakan dengan perambut saiz 10 paun terlebih dahulu, jika ikan culas, yang berkemungkinan disebabkan kondisi air jernih, turunkan kekuatan perambut ke lapan paun. Jika masih culas lagi, turunkan ke enam paun dan seterusnya empat paun jika masih culas juga.

Tidak ada masalah menggunakan perambut yang terlalu halus kerana mulut tamok jarang memutuskan perambut. Saya dapati ikan tamok ini agak berhati-hati dengan persekitarannya, jadi anda wajib guna perambut jenis fluorocarbon kerana ia lebih halimunan di dalam air. Anda juga wajib memeriksa perambut setiap kali menaikkan ikan kerana dikhuatiri perambut halus itu sudah melelas akibat geseran.

Dua mata kail lebih baik daripada satu untuk peluang mendapatkan ikan. Perambut tidak perlu panjang, cukup sekadar setengah jengkal untuk mata kail pertama dan sejengkal untuk mata kail kedua.

Mata kail yang terbaik saya gunakan setakat ini adalah Daichi DH-55 jenis Kantuki Chinu saiz 1.

Ia pendek, berteras nipis, tetapi kuat dan selalunya auto strike sebaik tamok memusingkan badan selepas menelan umpan roti. Sila jangan bersandarkan pelampung tenggelam baru hendak menyembat joran, itu sudah terlambat.

Anda seharusnya terus melihat umpan roti bermata kail yang terapung itu. Jika ia tiba-tiba hilang, maka bersiap sedialah untuk menyembat, sebab itulah anda harus pastikan tali utama sentiasa tegang ke pelampung.

Anda tidak perlu sembat terlalu kuat, cukup sekadar mengangkat joran, mata kail sudah boleh tercangkuk ke mulut ikan. Awal perlawanan tidak begitu terasa ia kuat menekan. Namun, anda harus ekstra berhati-hati dengan melonggarkan drag kekili apabila ia menghampiri anda kerana semasa itulah tamok akan kuat membenam dengan padu.

Sila guna tangguk untuk menaikkan tamok, ikan yang berat dengan perambut halus dan mata kail kecil bakal mengundang kekecewaan jika ikan terus dilambung naik ke rumah rakit.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN