RANTAU PANJANG – Rakyat Malaysia yang mempunyai ahli keluarga dan saudara-mara di Selatan Thailand kini takut untuk pulang ke kampung mereka di sana sempena Aidilfitri ini susulan kejadian letupan bom dan tembakan di Sungai Golok pada Sabtu lalu.
Mereka terpaksa menangguhkan rancangan untuk pulang beraya di wilayah itu terutama di Sungai Golok kerana khuatir dengan situasi semasa yang masih tegang atau berkemungkinan insiden sama boleh berulang dalam tempoh terdekat.
Peniaga, Abdullah Mat Roni, 50, berkata, pada awalnya dia tidak begitu bimbang dengan situasi tersebut kerana kejadian itu sering berlaku di sana.
Bagaimanapun, katanya, selepas berbincang dengan isteri, dia terpaksa menangguhkan hasrat untuk pulang beraya di kampung halamannya di Sungai Golok pada Hari Raya Aidilfitri nanti.
“Saya sepatutnya juga akan pulang ke Sungai Golok pada Khamis ini untuk berbuka puasa dengan keluarga di sana, tetapi apabila difikir-fikirkan semula, timbul pula rasa takut dan tidak selamat.
“Berdasarkan maklumat daripada ahli keluarga di sana, keadaan di Selatan Thailand masih tegang dan pihak berkuasa tidak membenarkan penduduk keluar terutama menaiki motosikal pada waktu malam,” katanya kepada Kosmo!.
Menurutnya, keadaan itu menyebabkan dia terpaksa membatalkan hasrat untuk berbuka puasa dan beraya bersama keluarga di kampung pada tahun ini.
Seorang pekerja swasta, Fatihah Yusof, 35, pula berkata, setiap tahun, dia sememangnya akan pulang ke rumah keluarga mentuanya di Narathiwat, Thailand untuk menyambut Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri.
Namun kali ini katanya, dia dan keluarga berkemungkinan akan mengubah rancangan dan tidak akan pulang ke sana pada awal Syawal ini kerana merasakan situasi di Selatan Thailand masih tidak selamat.
“Saya dan suami sudah berbincang, kami akan beraya di Kelantan terlebih dahulu pada tahun ini. Keputusan itu dibuat oleh kami sehari selepas insiden letupan bom dan tembakan di Sungai Golok.
“Ini adalah keputusan terbaik buat kami sekeluarga kerana tidak mahu terdedah dengan sebarang risiko apabila berada di sana. Saya risau jika insiden itu berulang, ia akan mengancam keselamatan anak-anak kami yang masih kecil,” katanya.

Sementara itu, Wan Ropeah Wan Rafei, 45, berkata, dia sepatutnya pulang mengadakan majlis tahlil untuk arwah ibunya yang meninggal dunia baru-ini di Tak Bai pada Khamis ini.
Katanya, memandangkan kebanyakan adik-beradiknya menetap di Malaysia dan sudah berkeluarga di sini, dia mungkin akan membuat majlis tersebut di Kelantan sahaja.
“Suami dan anak-anak tidak mahu masuk Thailand kerana mereka takut. Jadi, tahlil malam Jumaat ini terpaksa dibatalkan.
“Mungkin majlis tahlil hari ke-40 kematian arwah ibu akan dijalankan di rumah saya di Tumpat pada awal sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan, tiga letupan yang berlaku di beberapa lokasi di pekan Sungai Golok, Thailand pada Sabtu lalu telah mengakibatkan dua sukarelawan pasukan keselamatan terbunuh, manakala 11 orang lagi cedera.
Kejadian turut menggegarkan rumah-rumah yang berada di sempadan Malaysia-Thailand di daerah ini.
Gegaran yang disusuli bunyi tembakan berdas-das itu dirasai pada pukul 8.20 malam waktu Malaysia selepas penduduk baru selesai berbuka puasa.
Akhbar Bangkok Post pula melaporkan, insiden itu didalangi oleh sekumpulan penyerang berpakaian serba hitam dengan melempar bom dan melepaskan tembakan ke arah sebuah Pejabat Daerah Sungai Golok.
Mereka menaiki sebuah trak pikap dan berhenti di luar pejabat itu pada pukul 7.10 malam sebelum menyerang anggota sukarelawan pasukan keselamatan yang bertugas dan kemudian melarikan diri.
Penyerang turut meletupkan bahan letupan yang diletakkan di dalam kereta dan motosikal di luar pejabat itu.















