MINGGU lalu banyak kisah duka yang berlaku berkaitan kematian. Ada orang hilang anak, suami, kawan dan pekerja sepanjang seminggu Ramadan.
Kehilangan itu lumrah tetapi cara nyawa diambil yang menjadi asbab kepada kematian itu pasti meninggalkan kesan dalam hati kita. Apatah lagi ia berlaku pada bulan puasa di mana kita akan meraikan Aidilfitri selepasnya.
Pada malam Khamis lalu, seorang ibu pengsan apabila melihat dua jasad anak remajanya terbujur di atas jalan raya selepas terlibat dalam kemalangan.
Remaja berusia 15 dan 16 tahun itu hilang nyawa selepas dirempuh sebuah kereta yang memecut laju ketika lampu isyarat bertukar merah di persimpangan Persiaran Senawang 1, berhampiran Matahari Heights di Senawang, Negeri Sembilan.
Video kemalangan itu ditonton jutaan kali di sebahagian laman sosial yang jelas memperlihatkan kepada kita bagaimana kuat kemalangan itu sehingga pertembungan itu mencetuskan cahaya.
Bila berlaku kejadian sebegini, kita yang membacanya pun turut sebak. Bayangkan seorang ibu yang hanya dikurniakan dua anak, hilang cahaya mata serentak.
Dua hari sebelum itu, seorang lelaki yang baru pulang dari kerja meninggal dunia apabila merempuh dua kenderaan yang melakukan pusingan U di tempat yang bukan sepatutnya.
Kemalangan di depan Balai Bomba dan Penyelamat Rembau itu mengakibatkan seorang wanita yang sedang mengandung anak keenam menjadi balu sekelip mata.
Lebih menyedihkan apabila baju Melayu warna ungu yang dibeli melalui online untuk digayakan pada Aidilfitri kelak tiba sehari lepas dia meninggal dunia.
Kalau sebut jalan raya, apa-apa sahaja boleh berlaku. Kalau kita menunggang motosikal dengan betul dan mengikut peraturan, belum tentu lagi selamat daripada kemalangan yang mungkin berpunca daripada kesalahan pengguna lain.
Op Selamat pada musim perayaan juga sentiasa merekodkan kemalangan walaupun sudah banyak kali diingatkan supaya berhati-hati dan berwaspada di atas jalan raya.
Musim Tahun Baharu Cina lalu, Op Selamat merekodkan 64 kes kemalangan maut dengan 66 kematian daripada 7,882 nahas.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa sikap individu menjadi punca terbesar kepada berlakunya kemalangan.
Penulis teringat kisah yang berlaku pada Ramadan sekitar 27 tahun lalu. Ketika itu, penulis terlibat dalam kemalangan bersama beberapa rakan ketika menunggang motosikal semasa orang sedang bertarawih.
Walaupun tidak melibatkan kematian, penulis terpaksa menerima beberapa jahitan pada dagu. Ia berlaku ketika memandu dalam keadaan melulu.
Semuanya mengenai sikap. Bukan salah jalan atau kenderaan. Persoalannya, bagaimana kita mahu menghadapi rasa bersalah yang menyelubungi sepanjang hayat kita jika menjadi penyebab kepada kematian orang lain agaknya. -KOSMO! ONLINE
















