PETALING JAYA – Lelaki yang disyaki menghina agama Islam dengan mengeluarkan kata-kata lucah menerusi akaun Facebook ‘Vijayan Savarinathan’ dipercayai berada di luar negara pada ketika ini.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pihaknya kini sedang giat mengesan lokasi sebenar suspek berkenaan.
“(Suspek dipercayai berada) di luar negara.
“Kita (polis) sudah ambil tindakan yang sepatutnya untuk dapatkan suspek ini,” katanya kepada Kosmo! hari ini.
Semalam, media melaporkan, polis sedang memburu seorang lelaki yang disyaki menghina agama Islam serta mengeluarkan kata-kata lucah melampau menerusi satu video berdurasi tiga minit 49 saat yang tular di laman sosial Facebook, sejak kelmarin.
Satu laporan polis dibuat petang kelmarin di Balai Polis Manchis, Bentong, Pahang, oleh seorang lelaki berusia 32 tahun selepas melihat video berkenaan menerusi akaun Facebook atas nama ‘Vijayan Savarinathan’.
Razarudin dilapor berkata, siasatan pada masa ini sedang dijalankan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) Bukit Aman, sejurus laporan polis dibuat termasuk usaha mengesan lelaki terbabit yang berkemungkinan berada di luar negara. – KOSMO! ONLINE