Di mana tempat anda boleh merasai pengalaman berkhemah, memancing dan mendaki sambil menyaksikan keindahan terbitnya matahari di waktu pagi? Kesemua aktiviti tersebut boleh dibuat dalam tempoh sehari di Kebun Teras Dimensi.
Kebun Teras Dimensi merupakan destinasi agropelancongan yang menawarkan pengalaman unik bagi penggemar alam semula jadi dan aktiviti luar. Dengan keluasan 10 ekar (4 hektar) yang dipenuhi pelbagai jenis tanaman dan tasik menenangkan, ia menjadi lokasi ideal untuk aktiviti perkhemahan, glamping, serta memancing.
Kebun Teras Dimensi
Diusahakan oleh Leftenan Kolonel (bersara) Md. Razeef Md. Jee sejak lebih 15 tahun yang lalu, Kebun Teras Dimensi ini mulanya merupakan projek tanaman buah-buahan tidak bermusim seperti nangka dan belimbing.
Namun, selepas kerap kali menerima permintaan daripada pelawat yang datang untuk berkhemah, maka Md. Razeef mula menawarkan khidmat sewaan tapak perkhemahan sejak lima tahun lalu.
Pelbagai kemudahan disediakan untuk memastikan keselesaan para pengunjung, antaranya termasuk sambungan elektrik, sinki dan pili
air.
Bagi mereka yang gemar penginapan berbumbung, terdapat beberapa pilihan bilik. Misalnya, Bilik Mangga yang boleh memuatkan sehingga 10 orang dengan kemudahan pengdingin hawa. Bilik-bilik
lain adalah seperti Bilik Belimbing, Nangka, Manggis dan Avocado yang sesuai untuk kumpulan lebih kecil.
Kemudahan asas lain yang disediakan termasuk tandas awam, surau tepi tasik, kolam mandi mini, dapur lengkap dengan peti ais dan freezer serta tempat letak kenderaan.
Aktiviti
Menariknya di sini, selain perkhemahan, terdapat aktiviti lain yang boleh dilakukan bersama keluarga. Antaranya, morning walk sambil melihat keindahan matahari terbit di puncak bukit, menuai madu kelulut, berkayak dan yang paling penting, memancing.

Rusa, arnab dan ayam yang dibela juga merupakan tarikan untuk pengunjung terutamanya buat kanak-kanak.
Tidak perlu risau jika anda malas memasak, pihak pengurusan menyediakan pakej makanan untuk tiga kali sehari dengan bayaran tambahan, namun harus menempah awal.
Nasi lemak daun simpur merupakan menu trademark yang wajib anda cuba jika mengambil pakej sarapan di sini.
Memancing
Tasik di Kebun Teras Dimensi menjadi tarikan utama bagi pemancing. Tasik ini dihuni oleh pelbagai spesies ikan seperti peacock bass, toman, haruan dan lain-lain. Pengunjung dibenarkan memancing dan membawa pulang ikan peacock bass yang ditangkap, manakala spesies ikan lain perlu dilepaskan semula.
Ini selaras dengan usaha pemuliharaan dan memastikan populasi ikan tempatan kekal di dalamnya.
Jika tasik bukan pilihan anda, terdapat juga sebuah kolam kecil untuk pengunjung yang ingin memancing secara santai, namun ikan tangkapan harus ditimbang dan bayaran mengikut berat.
Glamping
Baru-baru ini, saya sempat ‘turun’ ke sini beberapa hari sebelum penggal persekolahan dibuka. Niat saya hanya satu, selain menghabiskan waktu percutian bersama keluarga, saya juga ingin memecahkan sumpahan ‘kumpau’ selama empat tahun memburu toman di sini.
Kali ini, saya memilih untuk tinggal di khemah glamping yang terletak berhadapan tasik.
Untuk glamping, hanya empat orang dibenarkan, tambahan bayaran akan dikenakan jika lebih daripada empat orang.
Sempat saya menaikkan seekor toman bujang yang menghentam gewang soft plastic, Gladius Seluang berwarna hijau, betul-betul di hadapan pintu khemah yang saya diami.
Kebetulan ketika itu, saya menggunakan joran Rentaka Defy nombor enam yang dipadankan dengan kekili mendatar Abu Revo Black 10 dengan nisbah kayuhan 10:1:1.
Dengan tangkapan tersebut, maka berakhirlah badi ‘kumpau’ toman saya selama empat tahun.
Secara keseluruhan, saya berpuas hati berkunjung ke Kebun Teras Dimensi yang menawarkan gabungan aktiviti perkhemahan dan memancing di dalam kebun, disertai dengan kemudahan lengkap serta suasana alam semula jadi menenangkan.
Kebun Teras Dimensi sememangnya destinasi yang wajar dipertimbangkan bagi mereka yang ingin melarikan diri daripada kesibukan kota sambil menikmati keindahan alam.






