fbpx
AZREL mengakui sangat menyukai kamera poket kerana memiliki kelebihan mudah dibawa ke mana saja di samping saiznya yang kecil.

Kamera poket jadi pilihan Azrel Ismail

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAIZ kecil dan mudah dibawa menjadi daya penarik kamera poket DJI Osmo Pocket 3. Gajet comel itu turut menjadi kegilaan buat pengguna vlog atau YouTube kerana senang untuk membuat rakaman.

Kelebihan yang ada itu turut membuatkan pelakon, Azrel Ismail tertarik dan menjadikan kamera tersebut sebagai gajet kesayangan yang dibawa ke pelbagai acara.

Kata pelakon filem Pendekar Awang: Darah Indera Gajah itu, kamera tersebut bukan sahaja mampu merakam video, tetapi boleh juga mengambil gambar.

“Gajet ini memiliki fungsi sama seperti kamera kompak sederhana atau lensa refleks tunggal digital (DSLR) yang memerlukan beg atau ruang simpanan lebih besar.

“Berbeza dengan kamera ini yang boleh disimpan di dalam poket dan senang untuk dibawa. Jadi, gajet ini memudahkan saya ketika hadir ke pelbagai acara atau merakam adegan belakang tabir penggambaran.

“Saya juga boleh merakam diri sendiri tanpa perlu bantuan orang lain dan begitu juga jika mahu merakam subjek yang ada, sekali gus memudahkan saya untuk merakam apa sahaja seorang diri,” katanya kepada K-Tekno.

Selain bercerita tentang teknologi masa kini, jejaka berusia 41 tahun itu turut mengimbau semula kenangan sewaktu menggunakan pemain video.

Tidak dinafikan sekitar 1980 hingga 2000, perkhidmatan sewaan video sangat terkenal dan menjadi trend pada masa dahulu. Setiap video yang disewa mempunyai had masa ditetapkan bagi mengelakkan daripada didenda kerana kelewatan pemulangan semula.

“Dahulu, alat pemain video boleh dikatakan penting dan paling kerap digunakan jika ingin menonton filem. Saya masih ingat dahulu waktu sekolah memang kerap menggunakan pemain video ini.

“Waktu dulu tidak seperti sekarang yang boleh tengok filem di televisyen, platform digital atau aplikasi penstriman. Dahulu, jika ingin menonton filem perlu menyewa video di kedai.

“Sekiranya tempoh sewaan dalam masa dua hari, memang kita akan tengok filem itu berulang kali sampai rasa puas hati supaya berbaloi dengan jumlah bayaran sewaan. Waktu dahulu itu sudah dianggap macam trend,” katanya.

Lanjut bercerita tentang perkembangan teknologi gajet, Azrel berpendapat kewujudan kecerdasan buatan (AI) secara tidak langsung membuatkan dunia digital semakin canggih.

Bukan itu saja, kewujudan pelbagai gajet terkini seperti dron, kamera poket dan realiti maya (VR) membuktikan peradaban semakin maju.

“AI itu memang teknologi yang kita tidak boleh sangkal, tetapi ia tetap satu teknologi digital yang berbeza dengan gajet.

“Pada saya gajet perlu ada dalam bentuk fizikal dan penting dibiarkan begitu sebab kita boleh pegang dan membuatkan kita berasa sebagai manusia,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN