MANCHESTER – Impian Manchester United untuk mempertahankan kejuaraan dalam saingan Piala FA lebur apabila tersingkir di pusingan kelima selepas terpaksa akur tewas kepada Fulham awal pagi tadi.
Fulham memastikan kemaraan ke suku akhir selepas menang 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedua-dua pasukan terikat seri 1-1 dalam tempoh 120 minit permainan.
Penjaga gol The Cottagers, Bernd Leno menjadi wira pasukan itu apabila menyelamatkan sepakan penyerang pemain United, Victor Lindelof dan Joshua Zirkzee bagi memastikan kemaraan Fulham ke pusingan seterusnya.
Pengurus Fulham, Marco Silva memuji aksi kemas ditampilkan anak-anak buahnya ketika menyingkirkan juara bertahan di Old Trafford.
“Saya gembira dengan aksi kemas serta fokus yang ditunjukkan semua pemain pada penentuan sepakan penalti. Sementara itu, Bernd Leno membuktikan dia merupakan salah seorang penjaga gol terbaik dalam Liga Perdana Inggeris (EPL),” katanya. – AGENSI