fbpx

Keunikan idea Raydiates meriahkan Anjung Syawal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rayme beramah mesra dengan usahawan yang berniaga di Anjung Syawal di Putrajaya baru-baru ini.

PUTRAJAYA – Bukan mudah untuk menganjurkan sebuah ­majlis mega yang melibatkan 320 lot niaga usahawan tempatan pelbagai jenama terkenal dan berdaya saing untuk dikumpulkan di bawah satu bumbung me­lalui Anjung Syawal yang terletak di Dataran Putrajaya di sini.

Rata-rata peniaga ini sudah berniaga lama dan setia mengikuti program berkenaan setiap tahun setiap kali tibanya bulan Ramadan sejak 13 tahun lalu dan kali ini, Anjung Syawal diuruskan oleh seorang usahawan yang memiliki banyak pengalaman dalam bidang pengacaraan serta pe­nganjuran majlis.

Langkah kanan Pengarah Urusan Raydiates Blue Sdn. Bhd., Rayme Zainal, 47, kini menjadi apabila permohonan projek untuk menjadi penganjur Anjung Syawal 2025 telah diterima oleh pihak Perbadanan Putrajaya dan memberikan beliau masa sekitar dua bulan sahaja untuk membuat persiapan untuk projek tersebut.

Mungkin pelan cadangannya yang berdaya saing dan unik serta mengambil kira pengalamannya yang meluas dalam bidang penganjuran majlis selain pe­ngacaraan termasuk hiburan membuatkan idea anak muda ini diterima pakai seterusnya dapat direalisasikan.

Hasil titik peluhnya sejak bulan Disember hingga majlis pelancaran Anjung Syawal pada hujung minggu lalu, kini berbaloi, malah berpuas hati dengan kelancaran persiapan tersebut dengan sambutan baik diterima dengan kejayaannya menjual sehingga 320 lot niaga dengan bayaran sewa penuh.

“Prestasi jualan ini telah melepasi sasaran awal yang mana kami jangkakan lot niaga dijual sebanyak 292 lot sahaja.

“Sambutan menggalakkan ini berjaya menepis dakwaan bahawa Bazar Aidil­fitri pada tahun ini tidak akan meriah seperti biasa ke­rana ramai yang lebih teruja untuk membeli secara online dan ada juga yang mahu berjimat cermat.

“Malah, terdapat juga isu di media sosial yang menasihati peniaga agar tidak berniaga di Bazar Aidilfitri kerana masyarakat tidak gemar mem­beli secara fizikal pada masa kini,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Lebih menarik, kesemua lot niaga Anjung Syawal ditempatkan dalam satu khemah gergasi yang panjang berhawa dingin dengan ruang pejalan kaki yang selesa.

Ia turut menempatkan segmen Pangkin Seni dan Serambi Santai yang akan menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirahat.

Rayme menerangkan, Anjung Syawal yang akan berlangsung selama 33 hari sehingga malam raya dan menyasarkan jualan melibatkan pelbagai produk dan segmen pasaran untuk meme­nuhi keperluan persiapan hari raya.

Bersandarkan inisiatif perancangan yang begitu rapi dan potensi hasil jualannya, anak kelahiran Tanjung Malim, Perak itu tidak sama sekali berkira untuk mengeluarkan modal kira-kira RM1.5 juta untuk menjayakan Anjung Syawal pada tahun ini.

“Jika diberi masa yang lebih kepada saya untuk membuat persiapan, pastinya akan lebih banyak perancangan, penajaan dan juga aktiviti dapat dijalankan sepanjang program Anjung Sya­wal ini berlangsung.

“Pengalaman saya yang lalu sebagai perunding dalam pe­nganjuran majlis memberi banyak­ kelebihan untuk saya melakukan yang terbaik selain di sokong oleh kakitangan yang begitu komited melaksanakan tugas masing-masing.

“Semakin dekat hari pelancarannya, saya tetap kuat dan semakin bersemangat untuk menjayakannya dan jika ada rasa tekanan, saya dapat melaluinya kerana pengalaman lalu banyak mengajar saya menjadi seorang usahawan yang lebih matang,” jelasnya.

Usahawan ini pernah berkhidmat dalam sektor awam selama lebih daripada dua tahun dalam bidang pelancongan menjadikan ia sebagai satu platform untuk menambah ilmu dan kemahiran dalam bidang tersebut sehingga­lah nekad berhenti untuk menjadi perunding bebas dalam industri tersebut pada tahun 2012.

Bermula di situ, beliau me­langkah ke dalam dunia penganjuran majlis serta pengacaraan sebagai perunding hinggalah ke hari ini, malah Anjung Syawal ini menjadi medan kemahirannya untuk membolehkan beliau semakin bersemangat untuk me­nganjurkan projek berskala besar bertaraf antarabangsa pada masa depan.

Tambah beliau, syarikatnya kini sedang mengintai peluang untuk program berkenaan pada tahun ini dalam usaha merancakkan lagi industri pelancongan ke negara ini.

Jelas Rayme, langkah tersebut bertujuan untuk melebarkan syarikat bertujuan mempromosikan Malaysia sebagai destinasi pelancongan bertaraf antarabangsa melalui penganjuran festival seni dan budaya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI