fbpx
Mohd. Na'im

Individu tak puasa berdepan denda, penjara – Mohd. Na’im

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar, menegaskan bahawa individu beragama Islam yang tidak berpuasa di tempat awam tanpa alasan kukuh boleh dikenakan tindakan tegas, termasuk denda dan hukuman penjara.

Beliau berkata, tindakan ini selaras dengan peruntukan undang-undang syariah di negeri-negeri yang mengawal selia tingkah laku umat Islam sepanjang bulan Ramadan.

Katanya, penguatkuasaan undang-undang terhadap kesalahan tidak menghormati Ramadan terus diperketatkan di seluruh negara bagi memastikan kesucian bulan mulia ini terpelihara.

“Pegawai Penguat Kuasa Agama Negeri-Negeri sentiasa melaksanakan pemantauan dan operasi bagi memastikan kesalahan tidak dilakukan oleh orang Islam sepanjang bulan Ramadan berpandukan peruntukan undang-undang yang sedang berkuat kuasa,” katanya kepada Kosmo!.

Menurut Mohd. Na’im, peruntukan dalam Akta Undang-Undang Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 [Akta 559], individu beragama Islam yang didapati menjual makanan, minuman atau rokok kepada orang Islam lain untuk dimakan serta-merta pada waktu berpuasa, atau makan, minum serta menghisap rokok secara terbuka di tempat awam, boleh dikenakan tindakan undang-undang.

“Jika disabitkan kesalahan, mereka boleh dikenakan denda tidak melebihi RM1,000 atau penjara sehingga enam bulan, atau kedua-duanya sekali.

“Bagi kesalahan berulang, hukuman lebih berat boleh dikenakan dengan denda maksimum RM2,000 atau penjara sehingga satu tahun, atau kedua-duanya,” jelasnya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pihak supaya menghormati bulan Ramadan dan mematuhi undang-undang yang telah ditetapkan.

“Berpuasa bukan sahaja satu kewajipan agama, tetapi juga lambang disiplin dan ketakwaan kepada Allah SWT.

“Orang ramai juga digalakkan untuk menjadikan Ramadan sebagai bulan muhasabah diri dan meningkatkan amalan kebaikan. Penguatkuasaan undang-undang ini diharap dapat memastikan kesucian Ramadan terus terpelihara di negara ini,” katanya.

Terdahulu, dua lelaki dicekup Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) selepas didapati menghisap rokok di dua kedai makan di Alor Gajah dan Krubong, Melaka pagi semalam.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama Melaka, Datuk Rahmad Mariman berkata, kedua-dua mereka, masing-masing berusia 59 tahun dan 45 tahun ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah Syariah.

Jelasnya, kedua-dua orang yang disyaki (OYDS) berkenaan juga telah diberikan surat perintah hadir ke JAIM hari ini untuk membantu siasatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI