KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memastikan kaedah pelaksanaan yang menyeluruh dan berkesan dalam penyasaran subsidi RON95 bagi mengatasi ketirisan subsidi petrol digunakan oleh golongan kaya.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penyasaran subsidi petrol RON95 yang bakal dilaksanakan sama seperti diesel yang mengambil kira harga pasaran.
Bagaimanapun, katanya, kerajaan akan memastikan kumpulan rakyat yang layak terus mendapat insentif atau bantuan sewajarnya.
“Penggunaan MyKad sebagai rujukan utama dalam penyasaran subsidi RON95 dibuat selepas melihat kebolehlaksanaan teknologinya yang terbukti berkesan.
“Tahap penggunaan MyKad untuk pelaksanaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) iaitu bantuan bagi pembelian barangan keperluan asas terpilih yang diperkenal sejak 2024 mencecah 99 peratus,” katanya pada sidang Dewan Rakyat di sini hari ini.
Amir Hamzah berkata, penyasaran subsidi RON95 perlu dilaksanakan untuk mengelak ketirisan subsidi petrol digunakan golongan tidak sepatutnya.
Katanya, berdasarkan data semasa, penggunaan petrol oleh bukan warganegara, sektor komersial termasuk aktiviti penyeludupan melebihi 20 peratus daripada jumlah penggunaan.
“Perbelanjaan susbidi RON95 tahun lalu hampir berjumlah RM20 bilion.
“Jika ketirisan dalam kalangan bukan warganegara, perniagaan dan golongan kaya ini ditangani, ia bakal menjimatkan lebih RM8 bilion setahun,” katanya. – KOSMO! ONLINE