Menu 'Ikan busuk' merupakan masakan ikan seperti kerai, patin atau belanak yang dimasak bersama pucuk-pucuk daun. Gambar kanan Mohd. Shahabudin bersama menu talam makanan kampung untuk sajian berbuka.

‘Ikan busuk’ menu berbuka puasa kampung

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MENGETENGAHKAN konsep kampung dengan suasana santai pastinya membangkitkan keterujaan ketika berbuka puasa.

Itulah yang ditawarkan di Restoran Salai Power di Jalan Kebun, Shah Alam, Selangor.

Ditambah dengan hidangan menerusi talam termasuk jenis rotan membangkitkan nostalgia kepada pelanggannya.

Kata pemilik restoran itu, Mohd. Shahabudin Mahmud, hidangan istimewanya adalah berkonsepkan salai iaitu daging, ayam, itik malah ikan patin dari Sungai Temerloh.

“Sebenarnya ramai keliru dengan beranggapan pengusahanya adalah orang Negeri Sembilan.

“Sebaliknya, kami adalah dari Bera, Pahang dengan hidangan ditawarkan termasuk makanan hulu Pahang seperti tempoyak daun, maman masak daging dan kulat sisir,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Menurutnya, restoran yang boleh memuatkan 480 pengunjung dalam satu-satu masa tersebut juga menyediakan ‘ikan busuk’ dari jenis ikan kerai, belanak dan patin.

“Kalau orang dari Batu Papan, Bera tahu hidangan itu dimasak gulai bersama pucuk-pucuk daun.

“Sebenarnya gelaran sahaja. Kalau makan satu pinggan boleh jadi 10 pinggan,” ujarnya.

Mohd. Shahabudin memberitahu, terdapat 50 jenis makanan disediakan oleh lima cef bersama 30 pekerja kesemuanya yang membantu operasi restoran tersebut.

Tambahnya, lima ruangan makanan disediakan sama ada tempat berhawa dingin, bersila dan bertingkat.

“Sepanjang Ramadan ini, kita menyediakan sajian menerusi talam dengan setiap talam mempunyai tiga hingga enam lauk mengikut pilihan pelanggan bermula pada harga RM50.

“Kita mempunyai beberapa set iaitu berpasangan, mangkuk tingkat, dulang dan talam. Sekiranya pada hari biasa adalah menggunakan menu ala carte bermula RM5 hingga RM25 bergantung kepada lauk dipilih,” katanya.

Jelasnya, pihaknya juga menyediakan hidangan moreh termasuk nasi goreng kampung istimewa, capati kari kambing serta soto daging dan ayam Bagan Datuk.

“Pengunjung tidak perlu bimbang kerana di sini menyediakan surau selain parkir yang boleh memuatkan 100 buah kenderaan.

“Waktu operasi sepanjang Ramadan ini adalah bermula pukul 6 petang hingga 12 tengah malam,” katanya.

Maklumat lanjut boleh kunjungi akaun Facebook Rasmi Restoran Salai Power.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN