fbpx
Patin monster Sungai Manggis yang betul-betul menguji kudrat untuk menaikkannya.

Patin ‘monster’ Sungai Manggis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SAYA bersama Ustaz Ihsan dan Afiq tiba tepat pukul 7 pagi di jeti Sungai Manggis, Dengkil, Selangor. Wak Puyim sudah bersedia di atas botnya. Ustaz Ihsan dan Afiq menaiki bot lain, manakala saya satu bot dengan Wak.

Perkara pertama yang perlu dibuat adalah mencari umpan patin iaitu buah berembang. Kalau ada buah yang gugur atau hanyut di dalam sungai, kami akan kutip dan guna sebagai umpan.

Kebiasaannya, buah yang masak akan gugur dan dihanyutkan arus kecuali buah dipetik oleh monyet. Kalau ada buah yang separuh masak, Wak akan simpan dan peram di dalam botnya untuk kegunaan pada trip akan datang.

Setelah umpan mencukupi, kami berlabuh tidak jauh dari jeti. Mata kail saiz 5/0 dicangkuk umpan buah berembang dan dibaling ke tengah sungai. Balingan perlu dilakukan secara berhati-hati bagi mengelak ia tertanggal.

Setengah jam berlalu, Wak mendapat tarikan pertama, seketika kemudian seekor patin berjaya dinaikkannya.

Tidak sampai 10 minit kemudian, umpannya disambar lagi. Dia menghulurkan jorannya untuk saya lawan, memang syok walaupun ia cepat mengalah.

Pada pukul 10 pagi, suasana mula senyap, tiada lagi sentapan daripada sang patin. Kami kembali menyusuri sungai mencari lubuk-lubuk yang dirasakan berpotensi untuk patin.

Patin monster
Setelah 20 minit perjalanan, kami berlabuh di satu lokasi berdekatan jambatan batu yang merentasi sungai. Di sini, kerap nampak ikan patin bermain air. Kadang-kadang di sebelah bot sahaja ia naik.

Baru sahaja saya hendak melontar umpan, joran Wak pula melentur. Kali ini lain macam benamannya. Tali mencurah keluar dari gelendung. Sekali lagi jorannya dihulur kepada saya atas alasan dia hendak mengawal bot.

Patin sungai sungguh sedap dimasak tempoyak.

“Patin kasar itu cikgu, baik-baik layan,” nasihatnya kepada saya.

Joran saya pam ke atas dengan berhati-hati dan akhirnya kelihatan ekor ikan yang lebar melibas air. Itu membuatkan adrenalin saya memuncak.

Suasana terik panas dengan ikan patin yang besar di hujung tali membuatkan saya gementar sehingga menerbitkan peluh jantan di dahi.

Hanya set pancing khas milik Wak digunakan untuk patin ­monster itu.

Perlahan-lahan ikan ditarik hingga ke birai bot. Dengan menggunakan ‘lip grip’, saya mencangkuk bibirnya sementara Wak mencengkam ekor dengan kukuh barulah ia dapat dinaikkan di atas bot.

Sememangnya cukup puas apabila dapat patin monster anggaran 18 hingga 20 kilogram tersebut.

Seharian saya membanting tulang melapah dan menyiang patin itu. Kemudian, saya bahagi-bahagikan pada jiran dan adik-beradik.

Sangat sedap isinya apabila dimasak gulai tempoyak, menyamai rasa ikan patin sungai yang lainnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN