fbpx
Ikan patin Chao Phraya seberat 20kg yang berjaya dinaikkan (gambar kiri).

Menjinakkan ‘gergasi’ di MTG Fishing Park

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini saya dan rakan-rakan telah berpeluang untuk merasai tarikan ikan gergasi air tawar yang mampu mencabar teknik dan kekuatan pemancing sehingga ke tahap maksimum.

MTG Fishing Park merupakan satu kolam air tawar yang menawarkan stok ikan saiz monster bertempat di Jelor, Pasir Puteh, Kelantan. Kolam ini menyediakan fasiliti yang lengkap seperti restoran, tandas, kedai umpan hidup dan kedai alatan pancing.

Kolam ini menawarkan pengalaman pancingan spesies ikan eksotik seperti patin Chao Phraya, patin Mekong (Pla Buk), Alligator Gar, Arapaima dan Pacu. Purata saiz ikan patin Chao Phraya di kolam ini adalah antara 12 hingga 20 kilogram (kg), dan ia bukanlah mudah untuk mendaratkannya.

Perjalanan kami seramai enam orang ke kolam bermula dari Kuala Terengganu pada pukul enam pagi dan sampai di sana lebih kurang pukul 8.30 pagi.

Kami telah disambut oleh pemilik kolam yang amat mesra. Sebelum mula memancing, kami telah bertanya serba sedikit tip dan teknik memancing yang ‘killer’ untuk kolamnya.

Menurutnya, umpan hidup paling mudah untuk mendapatkan ikan di sini dan perambut tali kevlar atau wayar adalah disarankan untuk mengelakkan kejadian putus dan berputih mata.

Separuh masa pertama

Kami bertapak di satu sudut kolam yang teduh dan jauh dari orang ramai. Sedang kami sibuk menyiapkan alatan, seorang daripada kami telah melontar umpan keli yang disangkut pada mata saiz 7/0. Tidak sampai seminit, ia terus dibawa laju ke tengah kolam.

Pada mulanya, kami tidak tahu ikan apa yang telah meragut umpannya, ini kerana tali tidak berhenti keluar dan terus keluar.

Joran kelas heavy dan extra heavy menjadi taruhan kami di sini.

Setelah berlawan lebih 10 minit, ikan tersebut pun mulai menunjukkan tanda mengalah dan kami pun membantu mendaratkan ikan tersebut dengan sauk yang disediakan oleh pihak kolam. Rupanya ia ikan patin Chao Phraya.

Setelah berjaya menaikkan ikan tersebut, rakan-rakan yang lain pula disambut dengan strike silih berganti. Namun, kami semua masih mendaratkan ikan patin spesies yang sama.

Umpan yang digunakan telah ditukar kepada saiz yang lebih besar seperti seekor haruan seberat sekilogram dalam usaha untuk menjerat ikan Arapaima atau Alligator Gar yang turut menjadi penghuni kolam ini, namun masih ikan patin Chao Phraya juga yang silih berganti mengambil umpan kami.

Jam menunjukkan pukul 12 tengah hari dan ikan pun mulai menjadi pasif, mungkin faktor cuaca yang terlalu panas. Kami memutuskan untuk berehat dan solat. Jumlah tangkapan kami dalam masa tiga jam memancing sudah melebihi tujuh ekor setiap orang dan semua mulai keletihan.

Separuh masa kedua

Setelah mengisi perut dengan bekal yang telah siap dibeli di warung berdekatan, kami pun sambung memancing. Umpan hidup yang kami sediakan telah habis digunakan di waktu pagi dan kami terpaksa menggunakan umpan alternatif seperti kepala ayam dan ikan selayang.

Ternyata umpan-umpan ini kurang menarik perhatian ikan dan responsnya juga lambat dan saiz ikan juga lebih kecil berbanding yang dapat menggunakan umpan hidup. Namun, kami setia menunggu dan teguh menanti saiz yang lebih padu untuk menyentuh umpan kami.

Setelah lebih lapan ekor lagi ikan patin Chao Phraya didaratkan, tiba-tiba salah satu joran rakan saya ditarik dan dia ‘terjun’ ke dalam air. Dia sempat mencapai set pancingnya sebelum ia pergi lebih jauh walaupun terpaksa basah lencun satu badan. Perlawanan kali ini ternyata lebih ganas dan bukan seperti tarikan ikan patin Chao Phraya.

Kami semua makin teruja menantikan kelibat ikan tersebut, ia rupanya ikan Arapaima yang dinantikan. Ikan menekan padu, tali di dalam gelen­dung semakin habis, drag masih tidak mampu menahan asakan ikan tersebut dan akhirnya putus.

Apa-apapun, kami semua sangat berpuas hati dengan hasil yang berjaya didaratkan dengan kesemua ahli trip berjaya mendaratkan lebih 10 ekor ikan seorang dan sudah tentu kami akan datang lagi ke sini jika ada kelapangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN