PERNAH mengalami kegagalan sebelum ini, namun tidak mematahkan semangatnya untuk terus membuka perniagaan menjual makanan bagi meneruskan tradisi keluarga.
Noor Umi Yana Sahidin, 31, berkata, walaupun terpaksa menanggung kerugian kerana perniagaan makanan sebelum ini tidak mendapat sambutan daripada pelanggan selain ditipu oleh rakan niaga sendiri, dia teruskan juga minat bisnes yang mengalir dalam darahnya.
Katanya, di atas pengalaman lalu, dia mengambil keputusan membuka kedai makan Warung Otai di sebuah bangunan lama di Pekan Sanglang, Pontian, Johor yang telah berusia lebih 60 tahun tetapi diberikan ‘nafas’ baharu pada bahagian dalamannya.
Menurut Noor Umi Yana, bagi mengubah kedai lama kepada kedai yang memenuhi cita rasa semasa, dia membelanjakan kira-kira RM10,000 bagi kerja-kerja ubah suai dalaman termasuk pembelian perabot, kerusi meja dan sebagainya.
“Tambahan pula saya lakukan ini demi minat untuk menjadikan Warung Otai satu-satu tempat di Pekan Sanglang bagi orang ramai mendapatkan makanan pada waktu malam hari dalam suasana santai.
“Pekan Sanglang ini pada waktu malam sepi kerana tiada premis perniagaan menjual makanan dibuka pada waktu malam dan dalam masa yang sama ramai penduduk memerlukannya,” katanya kepada K-Wanita baru-baru ini.
Mesra dengan panggilan Yana, dia memberitahu, Warung Otai menyediakan menu nasi lemak tiga generasi sebagai tarikan utama para pelanggan untuk menikmatinya sebagai juadah makan malam sampingan.
Menceritakan lebih lanjut, nasi lemak tiga generasi bermula dari legasi neneknya, Mariah Saat, 78, sebelum disambung oleh ibunya, Che Syam Yong, 52.
Neneknya memulakan bisnes nasi lemak di sebuah kawasan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Negeri Sembilan.
“Kemudian, semasa ayah bertugas di Felda Sahabat di Sabah, ibu pula membuat nasi lemak dan menjualnya dengan menghantarnya ke kedai-kedai kopitiam dan kedai mamak di Pekan Lahad Datu pada waktu pagi.
“Bermula dari situ, saya telah diajar memasak nasi lemak bermula dengan membuat sambal hinggalah kerja-kerja membungkusnya sebelum pergi ke sekolah,” jelas Yana.
Katanya, sebagai elemen penting, pembuatan sambalnya menggunakan beberapa bahan utama seperti cili kering yang dikisar, bawang dan ikan bilis yang dimasak selama 7 hingga 8 jam.
“Biasanya sambal akan dimasak sehingga pecah minyak supaya lebih sempurna dan pelanggan benar-benar merasai keenakan nasi lemak tradisional beralaskan daun pisang ini,” jelas Yana.
Bagaimanapun katanya, dia tidak terlepas menghadapi pasang surut dalam perniagaannya kerana bergantung kepada pelanggan yang datang, adakalanya ramai, adakalanya sebaliknya.
Untuk mempelbagaikan jualan selain nasi lemak, Warung Otai juga menjual roti canai dengan mengekalkan harga RM1 bagi roti kosong, selain roti telor, roti sardin dan sebagai menu tambahan.
Menyedari akan saingan daripada perniagaan makanan lain, Warung Otai juga memilih untuk menjual makanan Barat.
“Makanan Barat kami ini dijual dengan harga kampung sesuai dengan persekitaran di Pekan Sanglang, namun tetap menepati cita rasa pembelinya terutama dalam kalangan golongan muda dan kanak-kanak,” tambah Yana.
Kata Yana, walaupun tanpa mengikuti kursus khas pembuatan ‘ western food’ namun dia belajar sendiri melalui pelbagai platform media seperti YouTube, TikTok dan bahan-bahan bacaan.
Secara jujur katanya, pada awalnya banyak juga makanan yang dibuat tidak menjadi atau tidak memenuhi cita rasa yang dikehendaki, tetapi dia tidak berputus asa sehingga berjaya seperti sekarang.
Kata Yana, Warung Otai ini disewa dengan harga RM600 sebulan, di mana sebelum ini bapa saudaranya juga pernah berniaga menjual makanan pada tahun 1990 di tempat sama.














