PETALING JAYA – “Kami melihat mangsa berada di dalam sungai selepas 10 minit mencari dari atas jejambat.”
Demikian kata Amran Amatsudin, 37, saksi kejadian kes kemalangan ngeri menimpa seorang penunggang motosikal wanita yang tercampak dari ketinggian 35 meter (m) Lebuh Raya Bertingkat Damansara-Shah Alam (Dash) di sini kelmarin.
Dalam kejadian pada pukul 6.50 petang itu, motosikal jenis Honda Vario ditunggang mangsa berusia 30 tahun terbabas ketika melalui selekoh dan melanggar penghadang jalan sebelum mangsa terjatuh ke dalam sungai.
Menurut saksi itu, ketika kejadian, dia dan isterinya menunggang motosikal di belakang mangsa.
“Suaminya menaiki motosikal berasingan di hadapan, manakala isterinya di belakang. Mereka berkonvoi untuk pergi makan malam selepas pulang dari kerja,” katanya kepada Kosmo! semalam.
Amran berkata, suami mangsa hanya menyedari isterinya terbabit kemalangan selepas wanita itu tidak muncul di lokasi yang dijanjikan sebelum menghubungi telefon bimbit pasangannya.
“Suaminya tunggu di simpang hadapan. Dia hubungi isterinya dan kebetulan gajet itu berada berdekatan motosikal mangsa, jadi isteri saya jawab (panggilan) dan maklumkan tentang kejadian yang berlaku.
“Suaminya kemudian bergegas ke lokasi kejadian,” katanya.
Jelas lelaki itu, mereka hanya menyedari mangsa terjatuh dalam dalam sungai selepas 10 minit mencari dari atas jejambat lebuh raya berkenaan.
“Saya dan isteri bergegas ke lokasi mangsa terjatuh yang mengambil masa kira-kira 18 minit. Saya terjun ke dalam sungai tersebut untuk menutup badannya dengan menggunakan baju hujan.
“Saya yakin mangsa sudah ‘tiada’ ketika kami sampai di sungai tersebut,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar memberitahu, siasatan awal mendapati motosikal mangsa bergesel dengan kereta sebelum penunggangnya terjatuh pada ketinggian 30 hingga 35m dari lebuh raya berkenaan.
Siasatan diteruskan mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987.














