Sebahagian drama yang akan disiarkan sepanjang Ramadan ini.

Drama apa pula buka puasa tahun ini?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MASIH ingat dengan Wanita Syurga, Lelaki Itu, Malang Si Puteri, Takdir Itu Milik Aku, Khun.sa dan Hero Seorang Mr. Cinderella 2? Itu semua drama ‘lauk’ buka puasa dan moreh tahun lalulah kawan.

Tahun ini sudah tukar, ada banyak lagi drama ‘lara dunia’ yang akan menjadi menu wajib dalam percakapan rakyat jelata atau marhaen di Malaysia bahkan orang Melayu di serata pelusuk di luar negara yang tidak mahu terhindar daripada hikayat berbingkai trending dalam media sosial.

Datanglah sejuta naskhah hebat dengan idea tidak lapuk, penyiasatan, isu terkedepan bertaraf ‘kecerdasan buatan’ menerusi platform penstriman sekali pun, drama-drama keluarga berebut suami, ibu mentua dari neraka, pembalasan dendam terindah seorang madu atau wanita tersakiti itulah yang menjadi makanan ‘mass audience’.

Dalam bahasa yang lebih rasmi ‘mass audience’ merujuk kepada kumpulan besar khalayak yang menerima maklumat atau hiburan daripada media dengan cara sama.

Dalam konteks ini, televisyen mainkan peranan besar dan kemaruk orang kita terhadap drama televisyen tidak pernah kebah. Itu fitrah dan kecanduannya masyarakat kita terhadap mana-mana drama kegemaran di televisyen itu pula akan bersambung dalam media sosial, menjadi buah mulut, saling menjatuh hukum, berkongsi geram dan membentak. Ada juga yang cuba mencatur penamat terbaik kisah yang sudah ada ‘ending’nya itu ikut kemahuan masing-masing.

Tolak tepi bukan penonton drama Melayu, jika meleset, mulalah pula ada yang meraung, menangis hingga banjir pula perkongsian air mata dalam media sosial. Situasi ini tidak mengikut musim, musim cuti sekolah, musim raya atau musim bulan puasa. Sama saja!

Fenomena emosi pasang surut itu berdasarkan tahap ‘dajal’ atau sehitam mana watak jahat dan sesuci, senaif dan ‘sebodoh’ mana watak mangsa (protagonis) dalam sesebuah cerita.

Elemen ‘drama sangat’ memang wajib hukumnya untuk rating dan tarik perhatian pengiklan masuk ke stesen-stesen penyiar tak kiralah media konvensional mahupun digital, namun apa yang lebih membakar pastinya drama realiti hidup sebenar para selebriti yang adakala terlebih padu berbanding naskhah kreatif.

Tak sabar rasanya mahu melihat kemaruk emosi kebencian atau kecanduan khalayak terhadap drama-drama buka puasa dan makan moreh tahun ini. Sepintas lalu, judul Dendam Seorang Madu lakonan Hannah Delisha, Keluarga Itu (Fattah Amin) dan Seribu Tahun (Noor Khiriah) sudah dijangka akan meledakkan mood geram atau keinsafan sepanjang bulan suci yang datangnya sekali setahun ini. Tinggal lagi, ‘drama-drama’ juga, ibadah yang afdal dikejar jangan dilupa tau!

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN