KUALA NERUS – Seorang lelaki warga emas berusia 90 tahun di sini menikmati kehidupan bahagia bersama keluarga besarnya yang terdiri daripada 12 orang anak, 99 cucu, 128 cicit dan empat piutnya.
Mat Zin Abdullah berkata, walaupun sudah lanjut usia, kesihatannya baik tanpa sebarang penyakit kronik kecuali sedikit masalah pendengaran dan rabun jauh.
“Rahsia saya adalah hidup bahagia dikelilingi anak, cucu, cicit dan piut yang sentiasa membuatkan saya gembira dan bergelak ketawa.
“Hampir kesemua menetap berhampiran rumah saya kecuali seorang yang bermastautin di Alor Setar, Kedah,” katanya ketika ditemui bersama salah seorang cucunya, Safuwan Mohd. Saidi, 34, di rumahnya di Kampung Batu Enam di sini semalam.
Mat Zin berkata, kehidupan sehariannya tidak pernah sunyi dan sentiasa bersama anak, cucu, cicit dan piutnya setiap hari biar pun tinggal bersendirian di rumah pusaka setelah kematian isteri sejak 19 tahun lalu.
Katanya, dia sebenarnya mempunyai 14 orang anak, namun dua daripadanya sudah meninggal dunia.
“Alhamdulillah pada usia begini dan berkeluarga besar, saya masih mengingati nama setiap anak dan cucu,” katanya.
Mat Zin berkata, dia sentiasa menjaga kesihatan terutama dalam soal menjaga pemakanan dan bergerak aktif setiap hari.
Katanya, dia tidak boleh duduk diam dan kerap menghabiskan masa dengan berkebun dan mengunjungi masjid untuk mendengar ceramah agama.
“Jaga agama (beribadah), perut (pemakanan), hati (ceria dan berfikiran positif) dan kaki (bergerak aktif), insya-Allah kita akan hidup dengan sihat,” katanya.
Sementara itu, Safuwan berkata, anak dan cucu sentiasa berusaha untuk menceriakan dan berbakti kepada datuknya yang lebih selesa tinggal bersendirian di rumah pusaka di Kampung Batu Enam.
“Begitu kami sepakat membuat jadual khusus memasak dan menemani atuk (Mat Zin) setiap hari,” katanya.














