BESUT – Kegagalan dalam bisnes pencuci mulut dan pastri dua tahun lalu tidak mematahkan semangat seorang peniaga apabila kembali bangkit dengan menjual ‘popia big mac’ sehingga berjaya menjana pendapatan RM4,000 sebulan.
Nur Nasuha Nasir, 24, berkata, banjir besar pada 2023 telah menyebabkan kedai pastri diusahakannya musnah dengan jumlah kerugian RM10,000.
“Waktu itu, saya bagaikan jatuh terduduk apatah lagi premis perniagaan tersebut baru tiga bulan beroperasi.
“Saya terpaksa memilih pendekatan berniaga dari rumah setelah tidak mampu lagi membuka kedai baharu akibat kekurangan modal, “ katanya semalam.
Nur Nasuha mempertaruhkan ‘popia big mac’ berintikan daging lembu cincang yang dimakan dengan sos keju.
Katanya, produknya itu mendapat sambutan menggalakkan dengan purata 500 biji tempahan setiap minggu.
“Saya menjual popia big mac tersebut pada harga RM15 setiap set dan setiap pesanan saya hantar sendiri kepada pelanggan dengan caj antara RM5 hingga RM7 mengikut jarak perjalanan,” ujarnya.
Nur Nasuha memberitahu, dia turut membenarkan kaedah pembayaran sewaktu penerimaan (COD) bagi menarik pelanggan selain sentiasa membaiki kualiti resepi inti ‘popia big mac agar’ terus menambat selera pelanggan.














