fbpx
MICROSLEEP terjadi tanpa amaran dan antara penyebab sering berlakunya kemalangan di jalan raya. - GAMBAR HIASAN

Microsleep lagi bahaya dari pemandu mabuk

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SINDROM tertidur tanpa sedar atau microsleep ketika memandu sama bahaya dengan orang pandu kenderaan dalam keadaan mabuk.

Malah, mungkin lebih bahaya sebab ia sukar dikesan dan boleh berlaku secara tiba-tiba kepada sesiapa sahaja.

Sekiranya seseorang itu memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol, mereka masih boleh dikesan pihak berkuasa menggunakan alat khas.

Individu yang memandu dengan kepekatan alkohol dalam darah sebanyak 0.10 atau lebih adalah tujuh kali lebih berisiko untuk terlibat dalam kemalangan maut berbanding mereka yang tidak mengambil minuman keras.

Jika kepekatan alkohol dalam darah melebihi 0.15, risiko kemalangan maut lebih 25 kali ganda.

Pemandu mabuk biasanya tahu mereka sedang mabuk, tetapi pemandu microsleep kadangkala tidak sedar mengalami sindrom tersebut.

Kebanyakan yang tertidur ketika memandu adalah mereka yang melakukan pemanduan jarak jauh, tidak cukup tidur dan berada dalam kepenatan.

Kita bukan mesin yang boleh melakukan apa sahaja dalam tempoh lama. Kita manusia, otak, mata, tangan dan kaki memerlukan rehat mencukupi.

Masa muda, mungkin boleh memandu berbelas-belas jam sehingga awal pagi tanpa banyak berhenti rehat, namun apabila sudah berusia, badan tidak lagi bertenaga.

Apabila kita melawan fitrah manusia, microsleep boleh berlaku dalam sekelip mata.

Jadi ia terlalu bahaya kepada pemandu itu sendiri dan juga pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.

Sejak kebelakangan ini, banyak kemalangan berlaku apabila sesebuah kenderaan itu tiba-tiba hilang kawalan, terbabas dan memasuki laluan bertentangan.

Kebanyakan nahas seperti ini mengorbankan banyak nyawa pengguna lain yang tidak berdosa.

Pemandu lain memandu secara berhemah dan sentiasa berhati-hati, namun tiba-tiba pula ada kenderaan lain yang memasuki laluan bertentangan.

Rata-rata mangsa sememangnya tidak sempat mengelak terutama apabila kejadian berlaku di kawasan berselekoh atau berbukit.

Antara punca utama pemandu hilang kawalan dan memasuki laluan bertentangan ialah microsleep selain masalah kenderaan dan jalan raya serta kecuaian pemandu itu sendiri.

Microsleep tidak boleh dipandang ringan, pihak berkuasa perlu mencari kaedah terbaik bagi mengesan pemandu seperti ini dalam sekatan jalan raya, sama seperti mereka yang memandu dalam keadaan mabuk.

Biarpun agak sukar melakukan saringan itu, namun ia penting kerana sindrom tertidur tanpa sedar semakin menjadi-jadi.

Lebih penting pemandu itu sendiri perlu sedar keadaan fizikal mereka sudah tidak lagi ‘fit’ untuk memandu dan bila-bila masa sahaja boleh tertidur.

Tukar pemandu lain atau berehat dan lelap seketika di kawasan selamat. Ingat, tindakan anda itu bukan sahaja dapat menyelamatkan nyawa sendiri dan ahli keluarga di dalam kereta, malah orang lain. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN