fbpx
ANTARA gambar yang dikongsikan memaparkan usaha pihak sekolah dan ibu bapa membantu golongan yang memerlukan dengan menyumbang kelengkapan sekolah terpakai. - IHSAN FACEBOOK WAN LUQMAN dan NOOR ASMIDAR AHMAD KAMAL

Gerobok amal uniform terpakai bantu ibu bapa kekangan duit

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BARU-BARU ini penulis tertarik dengan usaha beberapa pihak termasuk sekolah dan ibu bapa mengumpul uniform terpakai yang masih elok dan sedia diambil oleh golongan memerlukan.

Disusun dan digantung dengan baik bagi memudahkan ia dipilih pemilik yang baharu, tindakan itu bukan sahaja membantu meringankan beban golongan memerlukan, malah mengelakkan pembaziran.

Usaha sedemikian pastinya membantu mengurangkan keluhan para ibu bapa yang terpaksa membelanjakan ratusan ringgit bagi kelengkapan sekolah untuk seorang anak, setiap kali menjelang sesi baharu persekolahan.

Penulis mencadangkan supaya Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) menjadikan gerobok amal ini sebagai program tahunan di sekolah masing-masing pada setiap hujung tahun sebelum sesi seterusnya dibuka kembali.

Dengan ratusan murid dan pelajar di setiap sekolah, sudah tentu ada banyak uniform dan kelengkapan yang masih berkeadaan baik, namun sudah tidak mahu lagi digunakan kerana faktor saiz atau ibu bapa membelikan set baharu untuk anak mereka.

Jika disediakan satu ruang dan peluang di setiap sekolah, ia boleh dimanfaatkan pelajar lain daripada dibazirkan atau dibuang begitu sahaja.

Ibu bapa atau pelajar yang memerlukan itu sendiri boleh hadir ke sekolah, pilih dan ambil mengikut keperluan serta saiz masing-masing sebelum sekolah dibuka semula.

Cadangan berkenaan turut menerima sokongan Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru Nasional (PIBGN) yang turut menggesa supaya ia diwujudkan segera.

Presidennya, Profesor Madya Datuk Dr. Mohamad Ali Hasan berkata, pihak sekolah digalakkan bekerjasama dengan PIBG masing-masing bagi mewujudkan ruang bagi tujuan tersebut.

“Saya amat bersetuju dan PIBG sekolah patut menyegerakan serta mewujudkan inisiatif ini termasuk keperluan terpakai lain seperti kasut dan beg sekolah serta buku bacaan.

“Cuma pastikan ia berkeadaan baik, bersih dan sedia untuk digunakan. Ruang berkenaan juga sebaiknya dijadikan agenda tetap setiap sekolah, malah lebih baik jika ia diwujudkan sepanjang tahun,” katanya ketika dihubungi Kosmo!.

Menurut beliau, pihaknya akan meminta kerjasama daripada pihak sekolah dan jabatan pendidikan daerah bagi memastikan program berkenaan boleh dilaksanakan secara menyeluruh.

“Kami akan minta kerjasama daripada pihak berkepentingan yang lain termasuk surau-surau untuk membantu serta menyokong usaha ini.

“Ini juga boleh menjadi salah satu sumbangan tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang mana pihak persendirian juga digalakkan mewujudkan ruang sebegini secara percuma dan sewajarnya usaha berkenaan diperluaskan,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN