KUANTAN – Pemburuan polis ke atas seorang lelaki yang melarikan diri selepas membunuh peniaga sambal ikan bilis garing di tepi Sungai Kuantan di sini Rabu lalu berakhir apabila diberkas di Wakaf Tembesu, Gong Badak Kuala Terengganu semalam.
Ketika ditahan pada pukul 5.30 pagi, suspek berusia 53 tahun dari Terengganu dikatakan bersembunyi di rumah anak saudaranya di lokasi tersebut.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd. Zahari Wan Busu berkata, pihaknya juga merampas cincin, wang tunai, pakaian dan dokumen untuk membantu siasatan.
Polis tidak menolak kemungkinan gelang emas berharga RM30,000 milik mangsa, Norshamira Zainal, 37, yang dilarikan suspek ketika kejadian telah digadai.
“Berdasarkan siasatan awal, gelang emas yang dipakai mangsa telah digadai di Terengganu. Bagaimanapun siasatan masih diteruskan (termasuk kerugian nilai barang kemas dan nilai gadaian),” katanya di sini semalam.
Wan Mohd. Zahari berkata, dengan tertangkapnya penganggur itu, pihaknya berjaya menyelesaikan kes pembunuhan kejam ke atas seorang peniaga wanita yang mayatnya ditemukan di tepi sungai berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur dalam masa tiga hari.
Mengulas lanjut, beliau memberitahu, laporan bedah siasat menunjukkan punca kematian ibu anak satu itu disebabkan kesan hentakan objek keras atau tumpul dan lemas.
Katanya, permohonan reman ke atas suspek dibuat di Mahkamah Majistret di sini semalam. Lelaki itu direman selama tujuh hari untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Perintah reman dikeluarkan Majistret Nor Izzati Zakaria pada pukul 2 petang semalam. Lelaki itu memakai memakai baju kemeja-T dan berkain pelekat.
Kosmo! semalam melaporkan seorang peniaga wanita ditemui mati dalam keadaan menyayat hati apabila menjadi mangsa pembunuhan kejam ketika melakukan urus niaga hantaran tunai (COD) berhampiran Jambatan Tanjung Lumpur Rabu lalu.
Mayat Norshamira dijumpai oleh sekumpulan lelaki termasuk suami dan bapa mentuanya pada pukul 12.45 tengah hari keesokan harinya di tepi sungai tersebut selepas 17 jam dilaporkan hilang.
Mangsa dikatakan keluar rumah untuk menghantar sambal ikan bilis garing kepada pelanggan yang juga suspek kes pembunuhan kejam tersebut.
Beberapa barangan kemas bernilai kira-kira RM30,000 yang dipakai mangsa juga lesap.
Suami mangsa, Muhammad Afiq Akmal Nudin, 31, tidak menyangka suspek yang peramah dan nampak baik rupa-rupanya bertopengkan syaitan hingga sanggup membunuh isterinya.
Lelaki itu pernah melihat suspek yang berbadan agak berisi dua kali sebelum ini ketika mengikut isterinya menghantar barangan kepada lelaki itu, malah suspek pernah mempelawa belanja ikan bakar dan mengajak mencandat sotong.
















