fbpx
Trend menunjukkan khidmat mobile spa paling banyak diambil golongan wanita, suri rumah atau ibu-ibu yang mempunyai kekangan untuk keluar kerana tidak boleh meninggalkan anak-anak.

Cantik, tubuh terjaga tanpa keluar rumah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETANG itu, tubuhnya terasa lenguh-lenguh akibat kesibukan bekerja dan menguruskan anak membuatkan Maizatul Shahirah Mohd. Zai cepat-cepat mencapai telefon bimbitnya untuk menempah sesi urutan badan daripada salah satu penyedia khidmat mobile spa (spa bergerak).

Selesai membuat tempahan, ahli perniagaan itu tidak perlu buat apa-apa dan hanya perlu menunggu petugas urutan untuk sampai ke rumahnya yang terletak di Shah Alam, Selangor.

Tanpa perlu bersiap, tanpa perlu memandu dan membayar kos parkir kereta di premis urutan, tubuh wanita yang mesra disapa sebagai Shahirah, 30, itu terasa segar semula seumpama keluar dari sebuah spa fizikal.

Kongsi Shahirah, sudah menjadi gaya hidupnya kini gemar mengambil perkhidmatan urutan daripada penyedia khidmat spa bergerak, khususnya apabila tubuhnya terasa teramat letih.

“Apabila badan lenguh-lenguh dan tidak bermaya, saya akan buat tempahan sesi urutan mobile spa.

“Senang kerana saya tidak perlu bersiap, memakai tudung untuk keluar rumah dan juga memandu ke pusat urutan kerana mereka yang akan datang kepada saya dan tubuh saya boleh dirawat dalam suasana penuh selesa,” katanya kepada CitaRasa.

Tambah Shahirah, khidmat sedemikian juga cukup memudahkan kerana servis rumah ke rumah turut dibuat pada waktu malam atau selepas waktu bekerja.

“Apabila badan saya sudah terlalu penat dan saya dalam keadaan terdesak, perkhidmatan sebegini turut disediakan pada sebelah malam, sesuai dengan keperluan diri saya yang sering sibuk di siang hari,” katanya yang mula mendapatkan servis urutan sedemikian sejak empat tahun lalu.

Jelas Shahirah, dia sudah meminati industri kecantikan dan spa sejak masih bergelar pelajar universiti.

Begitu pun, ibu kepada seorang cahaya mata itu berkata dia hanya mampu memanjakan diri dengan rawatan spa, selepas bekerja dan mempunyai pendapatan sendiri.

Bagi seorang lagi pengguna perkhidmatan itu yang hanya mahu dikenali Anne, 32, sebelum berkahwin, dia sememangnya gemar berkunjung ke pusat urutan dan spa yang terletak di pusat beli-belah atau hotel.

Antara rawatan yang kerap dibuat adalah urutan badan dan juga rawatan kuku.

Begitu pun, selepas mempunyai anak kira-kira empat tahun lalu, dia hanya mendapatkan servis sama menerusi perkhidmatan mobile spa yang sudah begitu banyak disediakan, khususnya di sekitar Lembah Klang.

“Bagi saya, buat apa saya mahu bersusah-susah bersiap dan memandu ke spa, jika spa itu boleh datang kepada saya?

“Bahkan, saya juga tidak perlu rasa bersalah atau bimbang meninggalkan anak saya yang masih kecil di rumah apabila memanjakan diri di luar, membuatkan saya lebih memilih servis ini,” katanya.

Tambah Anne, sudah banyak pihak menawarkan perkhidmatan sedemikian, khususnya di sekitar Lembah Klang.

Suasana seperti di dalam spa juga cuba diwujudkan antaranya dengan memasang lampu berwarna biru untuk memberi kedamaian ketika sesi rawatan.

Malah, dia juga tidak kisah membayar lebih untuk kos pengangkutan mereka memandangkan pekerja swasta tersebut sedar itulah ‘harga kemalasannya’ demi mendapatkan servis yang dipilihnya itu.

“Sejujurnya saya tidak kisah sangat tentang kos tersebut memandangkan saya tahu nilai itu berpatutan untuk kos membawa pekerja dan juga peralatan untuk saya memanjakan diri penuh selesa di rumah sendiri.

“Bahkan adakalanya saya rasa kos itu hampir sama dengan kos yang saya bayar jika saya terpaksa berkunjung ke spa di luar, selepas mengambil kira kos-kos luaran seperti parkir, tol, minyak kereta dan sebagainya,” katanya.

Ibu kepada dua orang cahaya mata itu bagaimanapun hanya memilih rawatan kuku dan urutan untuk servis mobile kerana bagi perawatan wajah, dia masih memilih untuk melakukannya di pusat rawatan pilihan.

“Ini kerana saya agak cerewet tentang perawatan wajah dan oleh sebab itu masih memilih untuk lakukannya di pusat rawatan yang saya percayai,” katanya.

Perkhidmatan mobile spa atau spa bergerak boleh dikatakan sudah lama popular yang berfungsi sebagai alternatif kepada golongan wanita khususnya untuk memanjakan diri tanpa perlu keluar rumah.

Bagi sesi rawatan spa di rumah juga, penyedia khidmat tersebut akan mewujudkan ‘vibe’ spa atau menyediakan dekorasi umpama berada di dalam spa sebenar. Pencahayaan malap atau lampu berwarna biru akan dinyalakan pada ruang kediaman bagi mencipta suasana tenang ala spa.

Rawatan sebegini menjadi pilihan khususnya golongan suri rumah atau ibu-ibu yang mempunyai anak kecil untuk mencantikkan diri penuh selesa di rumah sendiri.

Salah sebuah penyedia spa bergerak, Inaz Mobile Spa memberitahu, 98 peratus daripada klien yang mendapatkan khidmat perawatan spa di rumah adalah terdiri daripada golongan suri rumah.

Pengasasnya, Iman Nazurah Zulkifli, 31, berkata, selepas beberapa tahun menceburi bidang ini, dia menyedari bahawa wanita bergelar ibu dan suri rumah yang juga mempunyai kekangan untuk keluar rumah menjadi pelanggan paling ramai untuk servis ini.

Iman Nazurah memulakan perniagaan mobile spa miliknya sekitar 2018, selepas mengikuti satu kursus pengendalian spa yang dianjurkan secara percuma selama dua bulan, khusus untuk golongan B40.

Dia yang ketika itu baru menamatkan pengajian dalam bidang Sains Kaunseling di sebuah universiti tempatan memberanikan diri untuk mencuba sesuatu yang baharu, biarpun bidang itu ‘lari jauh’ daripada ijazah yang diperolehnya.

“Saya beruntung apabila ketika itu, pelanggan pertama saya merupakan seorang pemilik spa.

“Ketika melakukan sesi rawatan kecantikan kepadanya, pelanggan itu pula yang memberi tunjuk ajar kepada saya dan sudi berkongsi ilmu. Malah, dia turut memberikan beberapa barangan spa miliknya kepada saya.

“Sejak dari itu, syukur kerana rezeki saya dalam bidang ini sentiasa ada, memandangkan boleh dikatakan sentiasa ada tempahan daripada pelanggan-pelanggan yang mempercayai khidmat saya,” katanya.

Inaz Mobile Spa menawarkan khidmat urutan badan, perawatan wajah dan kuku di rumah pelanggan.

Iman Nazurah menambah, walaupun dia tidak melihat mobile spa sebagai trend popular baharu, dia melihat ia sudah menjadi gaya hidup sesetengah individu khususnya mereka yang sukakan kemudahan yang ditawarkan oleh perkhidmatan itu.

“Bagi saya, sentiasa ramai yang memerlukan rawatan sebegini, memandangkan selain golongan suri rumah yang tidak mahu meninggalkan anak kecil di rumah, Inaz Mobile Spa juga menawarkan rawatan buat orang kurang upaya (OKU), individu lumpuh dan juga warga tua yang menghadapi kesukaran untuk bergerak,” katanya.

Anak kelahiran Kuala Lumpur itu menambah, harga yang ditawarkan mobile spa juga biasanya bersesuaian dengan khidmat yang diberikan, menjadikan servis itu sentiasa popular dan berbaloi untuk diambil buat sesiapa yang berhasrat memanjakan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN