PENGALAMAN lalu mengajar Suzana untuk merancang ketersediaan bekalan bahan mentah dengan sebaiknya.

K2

Pengalaman pahit terputus bekalan bahan mentah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PERMULAAN sebuah perniagaan dengan modal yang terhad dan sumber bahan mentah yang tidak menentu sudah pasti melemahkan  semangat mana-mana usahawan untuk menghasilkan produk.

Namun, berbekalkan keazaman yang tinggi untuk berjaya dalam bisnes, ia tidak mematahkan semangat Suzana Mohd. Talib untuk membangunkan perniagaan kerepek dengan dibantu suami tercinta, Roslan Aziz.

Menurut Suzana, 58, dari Kampung Kanchong Tengah, Banting, Selangor perniagaan yang diwujudkan pada tahun 1989 di Sungai Lang, Banting itu, bermula dengan hanya satu produk iaitu kerepek ubi keledek.

“Bekalan ubi keledek pada masa saya mula berniaga memang mudah didapati daripada peladang setempat.

“Pemasaran produk pun tidak banyak masalah kerana ada permintaan untuk kerepek ubi keledek berwarna ungu untuk dieksport ke Australia,” kata pemilik Ros Kerepek Sdn. Bhd. itu ketika ditemui di pusat pengedaran dan kilangnya di Kanchong Darat baru-baru ini.

Namun, Suzana berkata, langit tidak selalu cerah apabila perniagaan kerepek ubi keledeknya menghadapi masalah bekalan bahan mentah akibat persaingan dengan pemain industri yang sama.

Katanya lagi, situasi tersebut menyebabkan beliau dan suami mengambil keputusan untuk mula menghasilkan kerepek pisang tanduk dan ubi kayu.

SUZANA (kiri) dan anaknya, Mohd.Fauzi sentiasa berbincang untuk majukan bisnes.

“Semasa itu perniagaan baru didaftarkan di bawah entiti Enterprise dan belum lagi menjadi Sdn. Bhd. seperti hari ini.

“Ros Kerepek hanya menjadi syarikat Sdn. Bhd. beberapa tahun lepas selepas perusahaan kerepek semakin berkembang pesat,” katanya.

Suzana yang merupakan ibu kepada lima anak berkata, cabaran menguruskan syarikat dan keluarga memerlukan dirinya  mengatur masa dengan bijak.

Jelasnya, walaupun kadangkala dia jatuh sakit kesan akibat bekerja tanpa mengira waktu, namun dengan sokongan keluarga dan pekerja segalanya berjalan lancar.

“Walaupun diuji sakit seperti demam dan kepenatan untuk tempoh tertentu, namun syarikat perlu diuruskan dengan sebaik-baiknya.

“Ini disebabkan seiring perkembangan dari tahun ke tahun, Ros Kerepek telah memiliki lebih 100 pekerja yang mengendalikan bertan-tan kerepek pelbagai jenis,”katanya.

Jelas Suzana, kebanyakan pekerja syarikatnya merupakan penduduk tempatan yang menjadi tulang belakang kepada perusahaan kerepek miliknya.

Ujarnya lagi, permintaan terhadap produk Ros Kerepek yang meningkat setiap kali musim perayaan memerlukan penglibatan ramai pekerja.

“Pada musim perayaan, permintaan pelbagai jenis kerepek akan meningkat sebanyak 15 tan berbanding hanya 5 tan sebulan pada luar musim perayaan.

SUZANA dan anaknya bergambar bersama pekerja di hadapan kilangnya di Kanchong Darat, Banting.

“Kerepek ubi kayu dan kerepek pisang tanduk merupakan produk kami yang paling laris. Kini, kita ada lebih 100 jenis makanan termasuk biskut dan kuih-muih tradisional.

“Permintaan tinggi produk Ros Kerepek buat masa ini adalah daripada usahawan di negeri-negeri sebelah utara Semenanjung Malaysia,” ujarnya.

Mengulas mengenai misi syarikat pada masa depan, Suzana memberitahu, pihaknya telah melibatkan diri dengan usahasama ladang kontrak bersama petani tempatan bagi penanaman ubi kayu, pisang dan lain-lain tanaman kontan.

Usahasama tersebut terangnya lagi, bagi memastikan bekalan bahan mentah tidak tergendala menjelang musim perayaan.

“Saya tidak mahu pengalaman pahit terputus bekalan bahan mentah semasa mula berniaga 36 tahun lepas berulang semula.

“Insya-Allah dengan adanya perjanjian ladang kontrak dengan peladang-peladang tempatan, isu bekalan bahan mentah akan dapat diatasi,” katanya.

Antara tanaman yang melibatkan perjanjian Ros Kerepek dengan peladang tempatan ialah pisang tanduk, pisang nangka, pisang berangan, kunyit, lengkuas dan halia.

Sementara itu, bagi meneruskan perniagaan Ros Kerepek, Suzana berkata, dia akan menyerahkan sepenuhnya tanggungjawab menguruskan syarikat tersebut kepada anaknya yang kedua, Mohd. Fauzi Roslan, 36.

Setelah lebih tiga dekad, katanya lagi, Ros Kerepek memerlukan sentuhan orang muda.

“Zaman TikTok ini, kita perlu realistik untuk mengurus dan memasarkan produk kita dengan cara moden dan terkini.

“Generasi muda ada cara mereka tersendiri selaras teknologi hari ini. Harapan saya Ros Kerepek akan terus maju dan mampu pergi lebih jauh pada masa akan datang,” katanya mengakhiri bicara.

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN