KLUANG – Orang ramai yang berkunjung ke Gunung Lambak di sini kecewa apabila kawasan riadah itu dicemari longgokan sampah yang dibuang di tempat letak kenderaan di kaki gunung itu.
Berdasarkan tinjauan Kosmo!, longgokan itu bukan sisa makanan, sebaliknya sampah pepejal yang berkemungkinan dibuang segelintir penduduk.
Pengunjung, Lisa Samat, 39, berkata, dia terkejut melihat longgokan sampah di belakang kereta dipandu suaminya ketika meletakkan kenderaan di kawasan parkir.
Katanya, tempat pembuangan sampah ada disediakan di situ, namun pagarnya berkunci dan sudah penuh dengan sampah.
“Papan tanda arahan tulis ‘jangan buang sampah di luar pagar’, tapi pagar tempat buang sampah pula dikunci, jadi siapa yang harus dipersalahkan.
“Sampah yang dibuang itu juga sudah lama dibiarkan, seolah-olah tiada yang pungut,”
katanya kepada Kosmo! semalam.
Katanya, perkara seumpama ini seharusnya tidak berlaku dan perlu ada pemantauan daripada pihak berwajib untuk memastikan kebersihan kawasan riadah ini sentiasa terjaga.
Seorang lagi pengadu, Razak, 33, berkata, sikap pengunjung untuk turut sama menjaga kebersihan di sepanjang laluan pendakian ke puncak Gunung Lambak juga dituntut.
Katanya, banyak plastik sampah ditinggalkan pengunjung di kawasan itu.
“Semua ini perlu dilakukan demi menjaga nama baik daerah Kluang kerana mereka yang kerap melakukan aktiviti pendakian datangnya dari sekitar bandar ini.
“Kita tidak mahu orang-orang Kluang dilabelkan sebagai pengotor hanya kerana sikap sesetengah individu,” katanya.














