MUNICH – Penggempur berbisa Bayern Munich, Harry Kane terus berada pada landasan tepat untuk mempertahankan statusnya sebagai penjaring terbanyak Bundesliga buat dua musim berturut-turut.
Kane memenangi anugerah berkenaan pada kempen sulungnya bersama Bayern musim lalu selepas berhijrah daripada Tottenham Hotspur dengan 36 gol, sekali gus menjadi penjaring terbanyak Eropah.
Kecemerlangan itu sememangnya bukan kebetulan apabila Kane, 31, sekali lagi mempamerkan ketajamannya apabila mendahului carta penjaring Bundesliga dengan 21 gol.
Ia termasuk dua jaringannya menerusi dua sepakan penalti ketika membantu Bayern menewaskan Werder Bremen 3-0 di Allianz Arena awal pagi semalam.
Kapten England itu kini enam gol melebihi kedudukan kedua milik Omar Marmoush menerusi 15 gol biarpun sudah berhijrah meninggalkan Eintracht Frankfurt dengan menyertai Manchester City bulan lalu.
Penjaring ketiga terbanyak ketika ini dihuni penyerang Bayer Leverkusen, Patrik Schick dengan 14 gol.
“Saya ada beberapa peluang lain yang sepatutnya boleh disudahkan dengan lebih baik terutama dengan kaki kiri. Masih ada banyak ruang untuk diperbaiki,” kata Kane.
Kemenangan itu juga secara tidak langsung melebarkan penguasaan Bayern di tangga teratas dengan kelebihan selesa sembilan mata ke atas juara bertahan di tangga kedua, Bayer Leverkusen.
Ia sekali gus melonjakkan motivasi Bayern yang akan berhadapan Celtic untuk playoff pertama Liga Juara-Juara Eropah pada 13 Februari ini. – AGENSI