BERLIN – Penggempur sensasi Bayern Munich, Harry Kane membuka akaun jaringan Bundesliga musim ini apabila meledak gol kemenangan untuk membantu Bayern Munich mengatasi pendatang baharu, Elversberg 2-1, kelmarin.
Penyerang England itu yang memakai lilitan kapten susulan Manuel Neuer direhatkan muncul penyelamat Bayern menerusi jaringan pada minit ke-72 selepas juara bertahan tersebut bergelut untuk menundukkan lawan.
Gol itu turut melegakan Kane selepas gagal menemui sentuhan penyudah dalam dua aksi liga terdahulu, berbeza dengan ketajamannya musim lalu apabila meledak 36 gol Bundesliga.
“Itulah bola sepak, kadangkala anda perlu menunggu lebih lama daripada yang dijangkakan. Bagus dapat menjaringkan gol dan memperoleh tiga mata.
“Ini gelanggang yang sukar, jadi kami gembira dengan kemenangan ini. Kami mungkin belum mencapai tahap terbaik, tetapi musim masih di peringkat awal,” kata Kane.
Bayern terlebih dahulu membuka jaringan pada minit ke-26 menerusi pemain sayap remaja Jerman, Lennart Karl yang menyudahkan hantaran lintang selepas Kane gagal mendapatkan sentuhan.
Elversberg yang memenangi dua aksi pertama dalam kempen sulung Bundesliga kemudian menyamakan kedudukan selepas sejam permainan menerusi Maurice Krattenmacher yang melakukan rembatan lencong menarik dari luar kotak penalti.
Kane bagaimanapun memastikan Bayern tidak kehilangan mata apabila menerima bola dalam kotak penalti sebelum melakukan pusingan dan melepaskan rembatan untuk mengembalikan kelebihan pasukannya pada minit ke-72. – AGENSI
















