fbpx
WEI CHONG-KAI WUN menampilkan aksi cukup baik musim ini dan dibuktikan menerusi gelaran Indonesia Masters.

Beri Herry IP masa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SIAPA sangka insan yang dahulunya dianggap musuh kini menyertai Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan bakal menabur bakti bagi memperkasa skuad beregu lelaki kebangsaan.

Herry Iman Pierngadi atau Herry IP bukan nama asing dalam arena sukan dunia kerana pernah melahirkan ramai pemain ternama yang kemudiannya menjadi juara dunia dan Olimpik.

Kehadiran Herry yang terkenal dengan julukan Naga Api itu dijangka mampu menambah sengat skuad beregu lelaki negara yang dilihat semakin mendominasi arena badminton dunia apabila memiliki empat wakil dalam kelompok 20 ranking teratas.

Justeru, penulis menganggap mungkin ini masanya untuk kita kembali memiliki barisan beregu lelaki yang mampu menggegarkan pentas dunia sama seperti era Jalani-Razif Sidek, Koo Kien Keat-Tan Boon Heong serta Goh V Shem-Tan Wee Kiong.

Pengalaman dan kredibiliti dimiliki Herry perlu dimanfaatkan sebaiknya berdasarkan reputasi beliau yang pernah mengemudi beregu Indonesia memenangi pingat emas Sukan Olimpik menerusi Candra Wijaya-Tony Gunawan (Sydney 2000) dan Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).

Bagaimanapun, peminat-peminat sukan tanah air perlu memberikan sedikit masa buat jurulatih berusia 63 tahun itu untuk menyesuaikan diri selain mengenali barisan pemainnya sebelum melakukan sebarang perubahan.

Herry yang baru sahaja memulakan tugas secara rasmi awal bulan ini berkata, beliau perlu mengambil masa untuk mengenali serta menilai standard pemain-pemain negara yang berada di Akademi Badminton Malaysia (ABM).

“Apa yang pasti pemain-pemain perlu sentiasa bekerja keras selain meningkatkan disiplin dan konsistensi. Saya tahu (prestasi) pemain ada naik dan turun, jadi motivasi itu satu perkara penting.

“Saya harus menyesuaikan diri terlebih dahulu dan kita ubah (latihan) secara perlahan-lahan. Kita tidak mahu buat perubahan secara mengejut dan menyeluruh,” katanya.

Pada tanggapan penulis, kehadiran Herry dalam skuad kebangsaan pastinya memberi nilai tambah buat beregu-beregu negara seperti Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Arif Junaidi-Yap Roy King.

Perkembangan itu pastinya memberi petanda positif buat beregu lelaki negara secara keseluruhan yang turut diperkuatkan pasangan profesional, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang merupakan gandingan No.1 Malaysia.

Untuk rekod, beregu lelaki boleh dianggap skuad terbaik ketika ini apabila meraih dua kejuaraan dalam tiga kejohanan terdahulu menerusi Sze Fei-Izzuddin (Terbuka India) dan Wei Chong-Kai Wun (Indonesia Masters).

Sementara itu, Wooi Yik pula secara merendah diri mengakui masih banyak yang perlu dipelajari daripada Herry meskipun dia dan Aaron pernah menjadi juara dunia pada 2022 di bawah kendalian Tan Bin Shen.

“Kami ada banyak benda yang perlu dipelajari daripada Herry kerana beliau pernah melatih beregu-beregu terbaik Indonesia, termasuk bekas beregu No. 1 dunia, Kevin Sanjaya Sukamuljo-Marcus Fernaldi Gideon.

“Saya dan Aaron sudah pun memenangi pingat di kejohanan-kejohanan besar, tetapi masih belum menjadi juara, inilah kekurangan yang masih ada.

“Saya percaya Herry mampu bawa kami ke satu tahap lebih tinggi,” ujarnya.

Secara kesimpulannya, setiap perkara yang baik itu memerlukan kesabaran, jadi Herry wajar diberikan masa untuk menerapkan falsafah latihannya dalam usaha membantu Malaysia memenangi kejuaraan-kejuaraan utama termasuk pingat emas Sukan Olimpik.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN