Pemeliharaan seni kraf merupakan satu usaha penting bagi memastikan bidang tersebut dapat dilestarikan di negara ini.
Sejak sekian lama, banyak rungutan diterima daripada pemain industri bahawa tidak ramai generasi muda yang mahu terlibat dalam bidang berkenaan.
Ia sekali gus mendatangkan resah bagi penggiat seni kraf kerana tidak mustahil kemahiran yang dimiliki mereka tidak dapat diperturunkan kepada generasi baharu.
Jika ia terjadi, maka tamatlah riwayat sesebuah seni kraf kerana tiada lagi ‘tangan’ yang mahu memberinya ‘nyawa’.
Di pihak golongan muda, ramai yang beranggapan kraftangan tidak mampu membawa pulangan lumayan dan mereka lebih rela terlibat dalam bidang lain.
Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Perak, Mohamad Rizan Mohamad Nordin berkata, terdapat pelbagai usaha yang boleh dilakukan bagi menarik minat golongan muda untuk menyetai bidang tersebut.
Menurut beliau, antaranya adalah melalui pembangunan produk yang lebih moden dan menarik dengan penggunaan bahan kualiti, warna lebih menarik, rekaan corak lebih mewah dan fungsi produk yang lebih jelas.
Selain itu, inisiatif lain adalah menerusi penggunaan media sosial dalam penerangan info atau penceritaan (story telling) yang lebih menarik.
“Kaedah lain lagi yang boleh dilaksanakan juga termasuk program galakan kepada golongan belia atau komuniti melalui aktiviti pembangunan kemahiran kraf melalui
Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia agensi di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
“Turut boleh dilaksanakan menerusi penawaran kursus pembelajaran secara formal di Institut Kraf Negara sehingga mendapat pengiktirafan Agensi Kelayakan Malaysia dan
Program Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET),” katanya.
Sementara itu, seorang warga emas, Siti Kamsiah Abas, 67, dari Kampung Gajah, Perak ketika ditemui penulis baru-baru ini berkata, dia mampu mempelajari teknik penghasilan pasu dalam tempoh beberapa bulan sahaja.
Katanya, kemahiran dimiliki itu membolehkannya menyara diri di kampung tersebut kerana kebolehan menghasilkan pasu atau seni kraf adalah berharga.
“Jadi tidak ada alasan kenapa orang muda tidak menceburkan diri dalam bidang kraftangan kerana ia merupakan satu daripada pintu rezeki yang sentiasa terbuka.
“Tak mengapa sekiranya tidak ada kemahiran kerana ia boleh dipelajari.
“Saya harap generasi muda dapat membuka mata menceburi bidang kraf kerana banyak manfaat sebenarnya bagi mereka yang terlibat dalam industri itu,” katanya.














