fbpx
GAMBAR HIASAN.

10 tahun tak bayar sewa PPR, hutang cecah RM13,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) mendedahkan terdapat penyewa di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1, Petaling Jaya, Selangor mempunyai tunggakan sewa sejak 10 tahun lalu.

Demikian senario serta realiti membabitkan seramai 2,888 penyewa PPR bawah seliaan KPKT yang dilaporkan mempunyai tunggakan sewa melebihi RM14.8 juta setakat Disember 2024.

Pengarah Bahagian Pengurusan Perumahan Jabatan Perumahan Negara, Badrul Ridzuan Abdul Rahim berkata, berdasarkan rekod, terdapat kes tunggakan sewa PPR melebihi tempoh 10 tahun iaitu sejak tahun 2015.

“Tunggakan sewa tersebut merupakan tunggakan sewa penghuni individu di PPR Lembah Subang 1 iaitu sebanyak RM13,873,” katanya kepada ­Kosmo! di sini semalam.

Mengulas lanjut, daripada jumlah 2,888 penyewa itu pula, sebanyak 2,852 orang direkodkan di PPR Lembah Subang 1 dengan tunggakan RM14.8 juta.

Katanya, tunggakan RM17,750 pula dilapor di PPR Pasir Mas, Kelantan melibatkan 36 penyewa.

“Sehingga Disember 2024, terdapat 166 projek PPR telah siap dibina di seluruh negara. Namun, hanya 22 PPR yang diselia sepenuhnya oleh KPKT.

“Selain itu, daripada 22 PPR tersebut hanya dua PPR ditawarkan di bawah skim PPR disewa, manakala selebihnya ditawarkan di bawah skim PPR dimiliki,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, untuk rekod kadar sewa yang ditetapkan di PPR Lembah Su­bang 1 ialah antara RM124 se­hingga RM250, manakala bagi PPR Pasir Mas pula ialah seba­nyak RM250.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai faktor kelewatan pembayaran sewa tersebut, Badrul Rizuan menjelaskan, ia berpunca masalah kewangan seperti kehilangan pekerjaan, pendapatan tidak cukup dan perbelanjaan harian tinggi menjadi penyebab kepada tunggakan itu.

“Selain daripada itu, ia juga disebabkan sikap penyewa itu sendiri yang kurang rasa bertanggungjawab atau tiadanya rasa ‘memiliki’.

“Jika penyewa tidak merasa memiliki atau tidak merasakan mereka adalah pemilik tunggal rumah tersebut, akan timbul rasa kurang memberi komitmen untuk menjaga rumah itu atau melunaskan bayaran,” kata beliau.

Susulan itu, katanya, KPKT perlu memberikan notis jika penyewa gagal membayar sewa bulanan sebanyak tiga bulan berturut-turut berdasarkan perjanjian sewaan PPR.

“Jika masih gagal menyelesaikan dalam tempoh ditetapkan, perjanjian penyewaan tersebut boleh ditamatkan.

“Namun, buat masa ini, KPKT melalui Jabatan Perumahan Negara mengeluarkan Notis Tunggakan secara berkala kepada penyewa mempunyai tunggakan iaitu secara fizikal dan melalui komunikasi WhatsApp,” jelasnya.

Katanya, walaupun terdapat peruntukan penamatan perjanjian, namun buat masa ini ia me­rupakan pilihan terakhir dengan mengambil kira golongan mendia­mi PPR adalah golongan rentan yang mempunyai masalah pendapatan. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN