KUALA KANGSAR – Tidak bertanggungjawab dan mengkhianati kepercayaan pemilik rumah.
Realiti berkenaan terpaksa dihadapi pemilik rumah sewa di Taman Jati di sini yang kerugian lebih RM4,000 setelah barangan di kediaman itu mengalami kemusnahan ekoran tidak dijaga dengan baik oleh penyewa.
Kata wakil pemilik rumah sewa berkenaan, Noor Azizan Abd. Murad, 61, kediaman itu disewakan kepada lapan orang pelajar sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) di sini sejak lima tahun lalu.
Katanya, para pelajar berkenaan meninggalkan rumah sewa tersebut pada awal Januari lalu kerana ingin berpindah ke lokasi lain.
“Bagaimanapun, setelah saya memeriksa keadaan rumah itu, ternyata pelbagai kerosakan dalam rumah. Antaranya tiga daripada lapan katil disediakan telah rosak.
“Begitu juga dengan kipas, peti ais, mesin basuh, permaidani dan tandas. Bahkan pagar dan pintu rumah juga rosak kerana tak dijaga dengan elok,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Noor Azizan berkata, kesemua pelajar tersebut yang masih menuntut di IPT itu berpindah ke rumah sewa lain dan enggan bertanggungjawab dengan kerosakan barangan berkenaan.
Katanya, mereka hanya menyerahkan kunci rumah dengan tiga bilik tidur itu kepada salah seorang penjaga rumah sewa tersebut dan hanya seorang daripada mereka dapat dikesan
“Pada awal mereka menyewa tiada masalah, sejak tahun ini ada macam-macam masalah seperti sampah.
“Buat masa ini, saya terpaksa beli perabot baharu dan baiki segala perkakas yang rosak macam kipas selain cuci rumah. Bukan itu sahaja, bil elektrik juga tertunggak RM375,” katanya.














