MIRI – Jenazah lima sekeluarga yang terkorban dalam tragedi tanah runtuh di Kampung Lereng Bukit, di sini selamat disemadikan di dalam satu kubur di Tanah Perkuburan Islam Tab Cinaq, Pujut 5B Â hari ini.
Sebelum ini, solat jenazah diadakan di Masjid At-Taqwa yang disempurnakan oleh Imam 1 Masjid, Jumaidi Naha.
Walaupun hujan renyai-renyai di tanah perkuburan tersebut, ia tidak menghalang orang ramai memberi penghormatan terakhir kepada kesemua mangsa.
Dalam tragedi pukul 3 pagi semalam, kelima-lima mangsa dijumpai meninggal dunia di bawah timbusan tanah runtuh yang menimpa rumah mereka di Lot 287 A.
Mereka terdiri daripada dua wanita berusia 71 dan 41 tahun, dua kanak-kanak perempuan berusia 8 dan 11 tahun serta seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. – KOSMO! ONLINE
















