LONDON – Aksi hambar ditampilkan Chelsea dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini jelas mengecewakan bekas pemainnya, John Obi Mikel.
Lebih parah, Obi Mikel secara terbuka mengkritik penyerang, Nicolas Jackson dan penjaga gol, Robert Sanchez yang dianggap tidak layak menyarung jersi The Blues.
Beliau menganggap dua pemain itu sebagai punca utama mereka tewas 1-3 kepada Manchester City Ahad lalu meskipun pada awalnya Chelsea terlebih dahulu mendahului 1-0.
“Keputusan bukan seperti yang diharapkan, sudah tentu saya kecewa. Ketika 1-0, Jackson berpeluang untuk menjaringkan gol kedua tetapi dia hanya melakukan hantaran ke belakang.
“Sebelum ini kami mencapai banyak kejayaan dan ia disebabkan penyerang prolifik seperti Didier Drogba. Jackson sangat baik dari segi aksi berpasukan tetapi dia bukan penyerang sejati,” katanya.
Setakat ini, penyerang Senegal itu sudah kemarau jaringan dalam tujuh perlawanan berturut-turut dan ia dianggap sebagai punca Chelsea gagal mencatat kemenangan.
Sementara itu, Obi Mikel turut mempersoalkan tindakan bodoh dilakukan Sanchez yang meninggalkan pintu gol sehingga membolehkan City menjaringkan gol kedua.
“Sanchez mungkin penjaga gol yang baik dalam Liga Perdana tetapi bukan untuk Chelsea. Tidak ada sebab untuk dia berlari keluar meninggalkan gol dan itu satu kesilapan cukup besar,” ujarnya. – AGENSI