fbpx
Walaupun vape mungkin tidak memiliki semua bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam rokok tradisional, ia tetap berbahaya. - Gambar hiasan

K2

Vape, e-rokok bahayakan kesihatan orang muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, peningkatan penggunaan vape dan rokok elektronik (e-rokok) telah mencetuskan cabaran baharu dalam usaha memerangi tabiat merokok.

Biarpun tabiat merokok secara tradisional telah menurun daripada 21.3 peratus pada 2022 kepada 19 peratus pada 2023.

Namun, penggunaan e-rokok dan vape telah menarik perhatian golongan lebih muda dengan hampir dua kali ganda peningkatan daripada 9.8 peratus pada 2017 kepada 14.9 peratus pada 2022.

Keadaan ini membawa akibat yang negatif kepada perokok dan orang di sekeliling mereka.

Walaupun ia tidak berkait secara langsung dengan kanser paru-paru, namun peralihan daripada tabiat merokok secara konvensional kepada vape serta e-rokok turut berisiko menjejaskan kesihatan.

Ini kerana, kandungan akrolein dalam e-rokok boleh mengakibatkan kecederaan paru-paru secara akut, paru-paru popcorn, asma dan Penyakit Pulmonari Obstruktif Kronik (COPD).

Akrolein dikaitkan dengan perubahan dalam asid deoksiribonukleik (DNA) selular yang boleh meningkatkan risiko kanser, tetapi tidak menjamin pengguna vape akan menghidap kanser paru-paru.

Peningkatan penggunaan vape dan e-rokok dalam kalangan golongan muda adalah membimbangkan.

Peranti elektronik ini sering dipromosikan sebagai alternatif lebih selamat dan mempunyai banyak pilihan perisa, sekali gus menjadikan kelihatan tidak berbahaya serta tampil bergaya.

Hakikatnya, persepsi ini adalah berbahaya dan mengelirukan, lantas menjadi ‘perangkap’ yang menarik orang ramai untuk menggunakannya.

Peranti vape dan e-rokok memanaskan nikotin yang diekstrak daripada tembakau, dan apabila ditambah dengan perisa atau bahan tambahan lain, pengguna menyedut aerosol ini ke dalam paru-paru mereka.

Walaupun mungkin menghapuskan beberapa produk pembakaran sampingan yang berbahaya, namun ia memperkenalkan pelbagai bahan kimia baharu.

Ini termasuk bahan tidak dikawal daripada sumber meragukan seperti agen pembersih, racun perosak dan metanol yang merupakan bahan utama bagi bahan api roket yang mungkin juga berbahaya.

Kajian terbaharu juga mengaitkan vape dan e-rokok sebagai penyebab masalah kesihatan yang serius.

Antaranya seperti kecederaan paru-paru yang teruk, peningkatan risiko penyalahgunaan tembakau dan bahan-bahan lain, masalah mental, penyakit pulmonari dan kardiovaskular serta kecederaan tidak disengajakan terutama dalam kalangan remaja.

Anak-anak muda yang mula merokok pada awal usia boleh menerima impak yang lebih serius terhadap kesihatan mereka.

Ini kerana, paru-paru matang apabila berumur 20-25 tahun.

Dengan vape, kita melangkah ke ‘kawasan’ berbahaya, di mana anak-anak muda secara tidak sengaja menjadi tikus putih dalam eksperimen yang tidak terkawal ini.

Ramai golongan muda yang menganggap perbuatan merokok dan vape hanya menjejaskan diri mereka.

Realitinya, asap rokok terpakai adalah penyerang senyap yang turut berupaya menyusup masuk ke dalam paru-paru orang di sekeliling mereka.

Asap rokok terpakai, gabungan asap dari hujung rokok yang terbakar dan asap yang dihembus oleh perokok mengandungi lebih 7,000 bahan kimia.

Beratus bahan kimia ini adalah toksik dan lebih kurang 70 daripadanya boleh menyebabkan kanser.

Biarpun vape sering dipasarkan sebagai alternatif yang lebih selamat, namun ia tidak terkecuali daripada pengawasan.

Wap e-rokok mengandungi nikotin, zarah ultra halus dan sebatian organik volatil.

Walaupun vape mungkin tidak memiliki semua bahan kimia berbahaya yang terdapat dalam rokok tradisional, namun tetap membahayakan kesihatan.

Terdapat beberapa pilihan rawatan yang berkesan untuk berhenti merokok.

Ini termasuk terapi penggantian nikotin (seperti tampalan, gam dan lozenges), ubat preskripsi serta kaunseling tingkah laku yang boleh meningkatkan peluang berhenti merokok dalam kalangan anak muda.

Berhenti merokok adalah sukar. Namun, ia boleh dicapai dengan sokongan dan pelan rawatan yang betul.

Saya menggalakkan individu yang ingin berhenti merokok untuk berjumpa dengan doktor kerana mereka boleh membantu merangka pelan paling sesuai.

Ini sekali gus meningkatkan peluang mereka berhenti merokok untuk tempoh masa panjang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN