fbpx
NURUL Syafiqah disamping suaminya, Mohd. Shahkirin yang diserang minor stroke ketika hendak keluar bekerja bulan lalu.

‘Suami jalan mengesot, mulut jadi senget’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MERSING – Seorang wanita yang mendiami Rumah Kilat Mer­sing Kecil di sini kini hidup dalam kebingungan selepas hilang punca pendapatan susulan keadaan suaminya yang diserang angin ahmar bulan lalu.

Nurul Syafiqah Razali, 34, berkata, suaminya Mohd. Shahkirin Daud, 28, yang sebelum ini bekerja sebagai penghantar barang tidak dapat meneruskan pekerjaan itu sejak diserang penyakit tersebut ketika hendak keluar mencari rezeki.

Katanya, keadaan itu menyebabkan suaminya kini hanya terbaring di rumah dengan bahagian kiri badannya tidak dapat digerakkan.

“Pada pagi dia diserang strok, saya nampak suami tiba-tiba jalan mengesot, mulutnya ketika itu sudah senget. Gaya percakapannya juga sudah pelat.

“Saya terus bawa suami ke hospital kerana badannya sudah sangat lemah.

“Doktor kemudian merujuk suami ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana bimbang jika ada pendarahan sebelum dia dibawa semula ke Hospital Mersing untuk rawatan,” katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Ibu kepada tiga orang anak itu berkata, suaminya ditahan di wad selama dua hari selepas doktor mengesahkan alami minor stroke.

Katanya, suaminya sebelum ini menyara keluarga de­ngan pendapatan RM3,000 ke RM4,000 sebulan.

“Anak-anak semuanya masih bersekolah dan seorang anak kami adalah orang kelainan upaya (OKU) masalah pendengaran serta tidak boleh bercakap.

“Anak OKU dapat bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) RM1,800 setahun dan untuk suami sudah lulus RM500.

“Baitulmal pula sedang dimohon. Di sini kami menyewa rumah dengan bayaran RM450 sebulan. Selepas ini, saya rancang untuk berniaga di hadapan rumah untuk mencari duit tambahan,” katanya.

Dalam pada itu, orang ramai yang mahu memberi bantuan boleh salurkan ke akaun Maybank 151098617664 milik Nurul Syafiqah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN