fbpx
Sharifah Syahirah yang merupakan Naib Canselor UPTM dianugerahkan Women Empowerment Icon oleh International Transnational Education Association (ITEA) pada November lalu. Wanita ini juga seorang jaguh taekwondo semasa menuntut di universiti dahulu dan pernah bertanding di peringkat antarabangsa.

Naib Canselor UPTM ikon pemerkasaan wanita, ada ‘black belt’ taekwondo

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGLIBATAN wanita dalam menerajui sebuah institusi pendidikan tinggi bukanlah sesuatu yang asing.

Malah, kini ramai wanita diberi peluang itu kerana mereka sememangnya layak memikul tanggungjawab tersebut.

Prof. Madya Dr. Sharifah Syahirah Sy Shiekh ialah salah seorangnya dan beliau merupakan Naib Canselor Universiti Poly-Tech Mara (UPTM).

Menjadi wanita pertama yang menjadi Naib Canselor UPTM setelah institusi pengajian itu diiktiraf sebagai universiti penuh, Sharifah Syahirah berkata, wanita juga mampu menjawat jawatan yang penting jika diberi ruang dan peluang.

“Namun, apabila diberi peluang untuk memikul amanah ini kita perlu mengutamakan tanggungjawab dahulu dan ia lebih penting berbanding jawatan itu sendiri.

“Ini kerana, ada sesetengah orang apabila memegang sesuatu jawatan dia hanya fikir apa dirinya akan dapat serta meletakkan tanggungjawab sebagai nombor dua dan sebenarnya orang itu tidak layak untuk diangkat menjadi ketua.

“Oleh itu, kita perlu tahu bagaimana untuk membawa tanggungjawab tersebut dan memastikan organisasi serta kumpulan sasar yang diterajui mendapat manfaat,” katanya kepada K-Wanita ketika ditemui di UPTM, Kuala Lumpur.

Ketokohan Sharifah Syahirah sebagai pemimpin begitu terserlah dan November lalu, wanita kelahiran Alor Setar, Kedah ini telah dianugerahkan Women Empowerment Icon oleh International Transnational Education Association (ITEA) atas pencapaiannya dalam memperkasa wanita di peringkat antarabangsa.

Sharifah Syahirah bukan sahaja banyak mengusahakan program pemerkasaan wanita, bahkan empunya diri sendiri mempunyai personaliti sedemikian apabila pernah bergiat aktif dalam sukan taekwondo dan mewakili universiti ke peringkat antarabangsa.

Sharifah Syahirah miliki Sarjana Muda Sains Kemanusiaan (Sains Manusia) dan Sarjana Sains Kemanusiaan (Sains Politik) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Doktor Falsafah (Sains Politik) dari Universiti Kebangsaan Malaysia.

Mempunyai ibu yang merupakan seorang guru, manakala bapa seorang kerani, kedua-dua orang tuanya amat mementingkan pendidikan dan disiplin anak-anak.

Sharifah Syahirah mendapat pendidikan awal di Sekolah Rendah Taman Uda dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar.

Sharifah Syahirah yang merupakan anak sulung daripada lima beradik berkata, manfaat daripada Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang dilaksanakan oleh kerajaan juga telah membolehkannya untuk melanjutkan pengajian.

“Ibu bapa saya tidak tidak mendapat peluang untuk melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan, namun saya beruntung kerana membesar ketika DEB yang menyediakan pinjaman kepada pelajar untuk melanjutkan pengajian.

“Malah, saya turut mendapat biasiswa Tenaga Pengajar Muda ketika melanjutkan pengajian di peringkat Doktor Falsafah,” jelas ibu kepada empat orang anak itu.

Sharifah Syahirah berkata, setelah tamat pengajian sarjana muda, beliau dipilih oleh Datuk Seri Azalina Othman Said untuk menjadi EXCO Penaja Pergerakan Puteri UMNO dan pegawai khas bagi sektor Pendidikan pada ketika itu.

SHARIFAH SYAHIRAH mengutamakan ‘essential skill’ kepada para pelajarnya dan amat mengambil serius mengenai kebolehpasaran pelajar UPTM.

Sharifah Syahirah juga merupakan Pengerusi Biro Pendidikan yang telah melaksanakan lebih 100 program Pendidikan seperti English on Wheels (EOW), Program Seni Mempertahankan Diri dan Program Pemerkasaan Pendidikan Awal Kanak-kanak.

“Selepas empat tahun dalam politik, pada akhir tahun 2004 saya bertukar ke dunia akademik dan pernah bertugas di International Islamic College (IIC) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM) sebelum menyertai Kolej Poly-Tech Mara (KUPTM) pada tahun 2015.

“Sepanjang bertugas sebagai ahli akademik saya bergiat aktif dalam pengajaran, penyelidikan, program komuniti dan pelajar,” jelasnya.

Di KUPTM, beliau juga telah memegang beberapa jawatan antaranya Ketua Pengantarabangsaan, Ketua Pusat Pengurusan Penyelidikan (RMC) dan kemudian Dekan Institute of Graduate Studies (IGS) sebelum institusi itu diiktiraf sebagai UPTM pada 6 Januari 2023.

Mengulas tentang tanggungjawabnya kini, Sharifah Syahirah berkata, tugas utama sebagai Naib Canselor adalah sebagai pemimpin yang mempunyai ‘an eagle eyes’ yang sentiasa merancang, membuat keputusan dan memastikan semua gerak kerja adalah strategik.

Bagi Sharifah Syahirah, niat kerja utamanya adalah untuk menjadikan UPTM sebagai universiti berteras profesional dan sains sosial yang menjadi pilihan utama di peringkat nasional dan antarabangsa.

Beliau berazam untuk menyantuni warga UPTM supaya menjadi golongan insan yang ceria, bermotivasi tinggi dan dapat memberi manfaat kepada insan lain.

Tambahnya, di UPTM, beliau sememangnya mengutamakan kehendak pelajar serta untung nasib mereka semasa di universiti dan juga selepas menamatkan pengajian.

Oleh itu, beliau amat mengambil serius mengenai kebolehpasaran pelajar UPTM.

Di bawah terajunya, apa yang Sharifah Syahirah lakukan adalah dengan menekankan ‘essential skill’ para pelajarnya.

Di UPTM, beliau memperkasa program-program yang dapat meningkatkan kemahiran tersebut. Beliau perlu sentiasa memastikan matlamat dan proses pemerkasaan pelajar dilaksanakan dengan baik serta menyuburkan budaya kerja Amazing UPTM supaya warga kerja dapat melaksanakan tugas dengan cekap dan berkesan.

“Budaya Amazing UPTM merujuk budaya kerja yang mementingkan nilai manusiawi iaitu budaya saling menghormati tanpa mengira status seseorang, saling membantu dan sentiasa bersikap profesional semasa bertugas.

“Saya perlu pastikan semua kepimpinan dan warga kerja faham ‘The Big Why’ supaya semua faham kepentingan pelaksanaan tugas tersebut.

“Selain itu, saya juga perlulah menjadi pengukuh jaringan kerja dengan pelbagai pemegang taruh terutama dengan agensi kerajaan, industri, institusi pengajian tinggi (IPT), badan bukan kerajaan (NGO) dan organisasi antarabangsa,” ujarnya.

Mengenai penganugerahan Women Empowerment Icon yang diterimanya baru-baru ini, Sharifah Syahirah berkata, dia telah lama terlibat dengan aktiviti tersebut dan penulisan tesisnya juga adalah mengenai penghapusan diskriminasi terhadap wanita dan pemerkasaan wanita di Malaysia.

“Selain itu, sepanjang menyempurnakan PhD saya juga terlibat dengan Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia.

“Di situ saya banyak anjurkan program-program pemerkasaan wanita seperti latihan kepimpinan untuk meramaikan wanita sebagai pemimpin,” jelasnya.

Bagi Sharifah Syahirah, sebenarnya di luar sana ramai wanita yang berjaya dalam pelbagai bidang, tetapi kurang dari segi kepimpinan.

“Salah satu sebabnya adalah kerana sosial konstruksi kerana kita telah dilatih untuk mendahulukan kaum lelaki dan ia telah menjadi satu budaya.

“Budaya ini kita kena ubah kerana untuk negara kita maju dengan cepat perlu ada pembuat keputusan daripada kedua belah pihak iaitu lelaki dan wanita.

“Jika lelaki saja membuat keputusan mungkin akan ada perkara-perkara yang terlepas pandang, tetapi jika wanita juga membantu mungkin keputusan yang dibuat akan lebih baik,” jelasnya.

Menyentuh personalitinya, Sharifah Syahirah menjelaskan, dia seorang yang gemar membaca dengan mengamalkan membaca satu buku seminggu. Namun ada kalanya dia membaca sehingga empat buah buku dalam seminggu.

“Selalunya saya akan membaca buku yang dapat mengubah pemikiran dan ketika ini saya sedang membaca empat buah buku antaranya Obsolete karangan Chris Baker dan juga buku Genesis.

“Bagi saya, dengan membaca juga menjadi salah satu cara untuk seseorang itu meningkat keyakinan dengan mengetahui lebih banyak perkara,” katanya.

Selain itu, wanita ini juga menggemari seni mempertahankan diri dan hebat di gelanggang taekwondo.

Dia aktif taekwondo sejak berusia 13 tahun lagi dan mempunyai tali pinggang hitam taekwondo.

“Saya pernah wakili Kedah, UIA dan Masum (Universiti Malaysia) dalam pertandingan peringkat nasional dan antarabangsa seperti World University Game di Taiwan.

“Selain itu, saya juga ada belajar silat dan wushu.

“Bagi saya seni bela diri mengajar tentang disiplin dan membantu kita meningkatkan keyakinan diri,” tuturnya lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN