PERCAYA atau tidak masih ramai dalam kalangan masyarakat di negara ini yakin kepada khidmat bomoh berbanding mendapatkan perubatan di hospital apabila ditimpa penyakit tertentu biarpun kita sudah berada di zaman kecerdasan buatan (AI).
Ada dalam kalangan masyarakat Islam sekarang ketika berdepan dengan penyakit ganjil atau masalah tertentu, mereka lebih percayakan bomoh kononnya boleh menjalankan rawatan dengan membaca jampi serapah yang kadang-kadang kita sendiri tidak faham butirnya.
Keyakinan sesetengah anggota masyarakat terutamanya orang Melayu berkaitan kemampuan makhluk ghaib dapat memberi manfaat dan mudarat kepada manusia sangat menebal sehingga sanggup berbuat demikian.
Apa yang lebih parah, ramai percaya seseorang yang digelar bomoh atau ada yang dipanggil sebagai ‘ustaz’ dapat menyelesaikan masalah dianggap mistik termasuk sihir dan masalah kesihatan yang sudah lama dihidap.
Sebagai contoh, terdapat segelintir mereka yang menghidap kanser lebih suka mendapatkan rawatan tradisional atau dalam erti kata lain percaya dengan bomoh berbanding pergi ke hospital untuk dirawat.
Mereka lebih taksub dan percaya kepada rawatan tradisional dan percaya ramai dukun dan bomoh boleh menyembuhkan penyakit tersebut, sedangkan hakikatnya tidak sedemikian.
Keadaan ini menyebabkan mereka lambat mendapat rawatan di hospital dan hanya selepas keadaan sudah teruk iaitu berada di tahap empat baru ‘terhegeh-hegeh’ untuk dirujuk ke hospital. Ketika itu semuanya sudah terlambat.
Satu persoalan yang muncul di benak kita mengapakah masyarakat begitu teruja dan senang percaya dengan hal-hal ghaib ini dan kadangkala taksub dengannya?
Ada yang mengatakan golongan muda masa kini lebih suka berbomoh untuk rawatan penyakit tertentu disebabkan sudah terbiasa dengan perkara itu disebabkan sering dibawa oleh ibu bapa sejak kecil.
Biarpun pengeras untuk khidmat bomoh tertentu bukanlah murah, malahan ada yang mencecah ribuan ringgit, mereka masih sanggup kerana terikut-ikut dengan perbuatan orang tua mereka sebelum ini.
Tahukah kita, yakin dengan kebolehan bomoh yang dikatakan menggunakan perantaraan makhluk ghaib adalah perbuatan yang dilarang dan boleh menyebabkan syirik yang tidak diampun Allah.
Amalan berbomoh sinonim dengan masyarakat yang boleh membawa kepada kesyirikan antara lain boleh menyelesaikan pelbagai masalah termasuk mencari barang hilang, ilmu penunduk suami atau isteri, ingin kelihatan digeruni oleh kawan dan lawan serta pelbagai lagi.
Mungkin ada rawatan alternatif yang boleh diharapkan, tetapi malangnya ia turut terkena tempias apabila segelintir mereka yang mengaplikasi rawatan tradisional membuat onar dan akhirnya mereka turut dilontarkan dengan tohmahan menipu orang ramai.
Kesimpulannya, bagi mendapat hidup lebih berkat, jauhilah amalan berjumpa bomoh yang kebanyakan mereka lebih mencari keuntungan peribadi dengan membawa amalan khurafat yang menjauhkan kita daripada mengingati Allah.















