Rezeki kami bertiga memperoleh tiga sambaran sekali gus.

K2

Meranduk sungai di pinggiran jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Sebagai seorang pemancing, anda pasti pernah meninjau lokasi memancing ketika memandu di sesuatu lokasi. Setidak-tidaknya, anda memandu perlahan untuk melihat keadaan air ketika melintasi mana-mana jambatan.

Begitu juga dengan saya. Bertahun-tahun memandu kereta menyelusuri jalan dari Kota Tinggi menuju ke Mersing, Johor melewati sungai-sungai kecil, saya tidak terfikir langsung terdapat lokasi yang mempunyai potensi untuk memancing untuk diteroka. Sayang bukan?

Hari demi hari, perasaan untuk menjelajah sungai-sungai di situ semakin membuak-buak, lantas saya memilih hari dengan cuaca terbaik untuk meneruskan misi pancingan kali ini.

Baru-baru ini, saya bersama dua orang rakan mengambil kesempatan untuk menerjah beberapa anak sungai. Sungai-sungai ini kecil sahaja dan ada antaranya terletak bersebelahan jalan utama.

Kami parkir kereta di bahu jalan dan terus turun ke sungai. Sungai yang kecil dan cetek membolehkan kami me­randuknya. Kami turun dan berjalan menghilir sungai. Ada lokasi yang kami perlu memanjat pokok-pokok tumbang.

Ada bahagian tebing yang ‘terang’ perlu kami redah dan ada tempat kami meranduk di dalam air.

Sungai yang kecil dan berkanopi me­rimbun bakal menyukarkan lontaran gewang jika tidak menggunakan joran yang sesuai.

Saya menggunakan joran Hasamu Sniper Cast 4-10lb sepanjang empat kaki enam inci bagi memudahkan lontaran gewang dilakukan.

Sungai yang sempit juga tidak memerlukan lontaran jauh, jadi memadai dengan penggunaan joran pendek.

Sungai cetek
Sungai yang berliku menyebabkan banyak lubuk kecil terhasil. Keadaan dasar lubuk berpasir dengan bebe­rapa kawasan reba di dalamnya. Penggunaan gewang selaman cetek sepanjang 5 sentimeter (sm) sudah memadai untuk menduga lubuk-lubuk ini.

Kebiasaannya, gewang yang pertama mencecah air akan terus disergap dan ma­­sing-masing akan cuba membuat lontaran pertama setiap kali sampai ke lubuk baharu.

Selepas seekor atau dua ekor ikan berjaya dinaikkan, keadaan lubuk akan menjadi ‘senyap’, jadi kami perlu bertukar ke lubuk lain.

Melihat pada ‘ramahnya’ ikan di sini, kami menjangkakan ikan tidak begitu culas dengan kehadiran manusia.

Keadaan lubuk yang kecil menyebabkan kami perlu bergilir-gilir melontar gewang. Jadi, setiap ahli trip dapat merasa tarikan ikan.

Meneroka sungai juga tidak digalakkan berseorangan, kena sentiasa ada rakan berhampiran. Ini bagi memudahkan pertolongan diberikan dengan segera sekiranya terjadi apa-apa kecelakaan tidak diundang.

Serang hendap bujuk
Sedang saya mendaratkan ikan sebarau, Faiz yang mencari lip grip untuk diberikan kepada saya, tiba-tiba gewangnya disambar rakus oleh ikan bujuk Channa lucius di hadapannya.

Keadaan mendebarkan kerana sambaran berlaku terlalu dekat dan dasar sungai juga dipenuhi kayu serta ranting tenggelam. Ini memaksa dia mengawal ikan dengan penuh berhati-hati.

Meranduk sungai cetek memerlukan stamina yang kuat terutama ketika hendak menongkah arus.

Namun dengan pengalaman, dia berjaya mengawal keadaan dan dapat mendaratkan ikan tersebut.

Sebarau curut
Sepanjang meranduk, kami kerap memperoleh ikan sebarau bersaiz kecil atau digelar ‘sebarau curut’ yang suka ‘meligan’ gewang seperti tidak sensitif terhadap kehadiran kami.

Ada yang menyambar hanya beberapa meter di hadapan kami. Malah, ada yang menyambar sejurus sebelum gewang diangkat keluar dari air.

Keadaan ini menunjukkan populasi ikan di sini masih banyak dan mempunyai ekosistem yang baik dengan limpahan makanan berupa serangga, anak-anak udang dan ikan-ikan kecil.

Berkemungkinan juga, sungai berkanopi pohon ini mengurangkan cahaya matahari menembusinya. Lantas, kurang mewujudkan bayang-bayang kami ke air, dan itu mungkin faktor utama ikan kurang culas.

Namun begitu, amat sukar untuk mencari ikan sebarau bersaiz kasar.

Berkemungkinan faktor air yang surut dan cetek menyebabkan ikan sebarau bersaiz besar turun mengikut aliran air ke kawasan sungai lebih dalam.

Sebab kedua, mungkin kami memulakan pancingan dengan menghilir sungai, jadi lubuk-lubuk telah dikacau awal apabila kami meranduk air. Kebiasaan pemancing sungai
pergunungan lakukan adalah dengan menghulu sungai, jadi lubuk-lubuk tidak terganggu sangat dengan kehadiran pemancing.

Ketiga, kami perlu lebih berhati-hati dengan penampilan diri yang terlalu ketara di sungai. Maknanya, perlu ada penyamaran (camouflage) dari segi pakaian yang se­ragam dengan persekitaran. Kami juga perlu menyorok setiap kali menghampiri lubuk baharu sebelum melontar gewang.

Keempat, kami perlu mengurangkan pergerakan di dalam air (meranduk). Alternatif terbaik adalah dengan bergerak di sepanjang tebing, jadi kawasan lubuk tidak terganggu sangat dengan pergerakan pemancing.

Saya pasti akan kembali semula jika mendapat maklumat bahawa keadaan air meningkat tinggi ketika musim hujan yang panjang bagi mencari sebarau berstatus ‘badong’.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN