fbpx
Pelaksanaan kadar gaji minimum yang baharu sebanyak RM1,700 akan bermula Februari ini. - Gambar hiasan

Pekerja senyum, majikan pening gaji minimum RM1,700

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Mulai Februari ini, pelaksanaan kadar gaji minimum yang baharu sebanyak RM1,700 akan bermula.

Langkah tersebut merupakan salah satu usaha kerajaan untuk memastikan golongan berpendapatan rendah khususnya dapat memperbaiki kualiti kehidupan mereka.

Kepada pekerja daripada mereka yang bergaji rendah, pelaksanaan kadar gaji minimum yang baharu itu boleh dianggap sebagai satu rahmat lebih-lebih dalam keadaan ekonomi yang semakin mencabar ketika ini.

Beban kewangan akibat kenaikan kos sara hidup yang agak menghimpit ketika ini mungkin akan dapat dikendurkan sedikit walaupun bukan seratus peratus.

Bagi kerajaan, matlamatnya adalah mudah, ia adalah untuk kesejahteraan rakyat berpendapatan rendah.

Malah, lebih daripada itu ia secara tidak langsung meningkatkan kuasa beli dalam kalangan pekerja yang sekali gus kelak akan turut membantu merancakkan aktiviti ekonomi setempat.

Perniagaan kedai runcit, barangan keperluan, pakaian dan sebagainya mungkin boleh menarik nafas lega kerana lebih ramai pekerja yang mempunyai ‘poket tebal’ selepas ini.

Namun, keadaan sebaliknya pula terpaksa dihadapi para majikan terutamanya kepada syarikat-syarikat kecil yang terpaksa bergantung kepada tenaga kerja rendah.

Pelaksanaan gaji minimum baharu ini mungkin memberi cabaran kerana akan menyebabkan berlakunya kenaikan kos operasi.

Bagi syarikat yang mempunyai jumlah tenaga kerja rendah yang ramai, sudah tentu terpaksa merancang dengan teliti operasi mereka kerana kos yang meningkat secara tidak langsung akan turut memberi kesan kepada bisnes mereka.

Apa yang dibimbangi ialah kenaikan kos operasi syarikat-syarikat ini akan mendorong mereka untuk menaikkan pula harga barangan atau caj perkhidmatan bagi membolehkan mereka mengimbangi kadar kenaikan gaji terbabit.

Jika ini berlaku, kenaikan gaji minimum RM1,700 ini mungkin tidak akan memberi sebarang makna kepada pekerja-pekerja dalam sektor rendah ini, malah tempiasnya juga akan turut dirasainya oleh pekerja-pekerja dalam golo­ngan B40 atau M40 yang lain. Tekanan inflasi ini sudah tentu sukar untuk dielakkan.

Selain itu, syarikat-syarikat kecil yang mempunyai pekerja kurang daripada lima orang juga akan turut termaktub kepada peraturan gaji minimum baharu ini walaupun ia akan bermula mulai Julai nanti.

Persoalannya mampukah mereka untuk membayar gaji setinggi itu?

Secara keseluruhannya, sudah tentu pelaksanaan kadar gaji minimum baharu ini memberi harapan kepada pekerja khususnya dalam meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

Namun pada masa yang sama ia juga perlu diteliti dengan baik agar syarikat-syarikat kecil akan terus dapat menggunakan khidmat pekerja selain pada masa yang sama kadar harga barang dan caj perkhidmatan dapat dikawal daripada melambung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN