BARU-BARU ini, peminat badminton negara mendapat perkhabaran gembira selepas jurulatih berpengalaman dari Indonesia, Herry Iman Pierngadi diumum sebagai ketua jurulatih beregu lelaki negara yang baharu.
Herry atau lebih dikenali sebagai Herry IP akan mula menjalankan tugas secara rasmi di Persatuan Badminton Malaysia (BAM) pada 1 Februari ini bagi menggantikan Tan Bin Shen yang berhijrah ke Hong Kong.
Jurulatih berusia 62 tahun itu dipilih menjawat posisi tersebut berdasarkan reputasi besarnya selaku individu yang bertanggungjawab melahirkan dua juara Olimpik iaitu Tony Gunawan-Candra Wijaya (Sydney 2000) serta Hendra Setiawan-Markis Kido (Beijing 2008).
Jurulatih yang mempunyai hobi bermain burung itu juga bertanggungjawab membentuk gandingan Hendra-Mohammad Ahsan yang menyaksikan mereka memenangi beberapa gelaran dunia termasuk Seluruh England.
Malah, Herry IP bertanggungjawab melatih gandingan Marcus Fernaldi Gideon-Kevin Sanjaya Sukamuljo sehingga meraih gelaran Seluruh England dan menjadi pasangan beregu lelaki nombor satu dunia.
Reputasi hebat tersebut menyebabkan khidmat Herry IP diburu oleh banyak negara selepas berita kontraknya tidak disambung oleh Persatuan Bulutangkis Seluruh Indonesia.
Kehebatan Herry IP melatih para pemain juga membolehkannya mendapat gelaran Naga Api oleh para peminat badminton dunia.
Herry IP memberitahu, gelaran Naga Api itu diberikan oleh para peminat badminton di China selepas berjaya melatih beregu lelaki Indonesia meraih kejayaan luar biasa.
Sebagai seorang peminat badminton, penulis cukup mengenali susuk Herry IP ini terutamanya ketika beregu negara bertemu pemain dari Indonesia.
Herry IP mempunyai perwatakan tenang di belakang gelanggang. Dia tidak suka menjerit-jerit memberi arahan atau bersorak secara berlebihan apabila anak didiknya meraih kejayaan.
Malah, Herry IP mempunyai kemampuan untuk membaca taktik lawan dengan baik. Ini dapat dilihat ketika pasangan Indonesia ketinggalan, dia mampu memberi input terbaik kepada para pemain ketika waktu rehat.
Dari aspek gaya permainan pula, penulis amat menggemari gaya yang ditampilkan oleh Herry IP. Herry IP cukup menggemari corak menyerang pantas terutamanya ‘first three shots’ yang terkenal dalam kalangan pemain beregu Indonesia.
Kehadiran Harry IP di BAM diharap mampu mempelbagaikan lagi gaya permainan beregu negara.
Disebabkan itu juga, tidak hairanlah sekiranya berita penghijrahan Herry IP ke Malaysia mendapat liputan meluas di Indonesia yang bimbang jika dia ‘membocorkan’ rahsia.
Pastinya, tugas paling besar Herry IP adalah untuk merealisasikan impian Malaysia mendapat pingat emas pertama di Sukan Olimpik Los Angeles 2028.
Herry IP mendapati bahawa terdapat tiga gandingan iaitu (Aaron Chia-Soh Wooi Yik, Man Wei Chong-Tee Kai Wun dan Wan Arif Junaidi-Yap Roy King) boleh berkembang.
Oleh itu, adalah diharapkan Herry IP dapat menggilap potensi mereka untuk meraih emas Olimpik, selain melahirkan lebih banyak pemain beregu bertaraf dunia.















