fbpx
DR. LUQMAN berkata, istilah penunggang agama perlu diperhalusi bagi memberi keadilan kepada majoriti agamawan.

Istilah ‘penunggang agama’ beri konotasi negatif

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ISTILAH ‘penunggang agama’ sering dilabelkan oleh segelintir orang ramai kepada individu dikatakan menggunakan agama untuk keuntungan diri atau kepentingan peribadi.
Tanpa diketahui asal usul kewujudannya, istilah tersebut sudah sebati digunakan masyarakat, namun ia turut memberikan pandangan negatif kepada golongan agamawan yang secara ikhlas menyampaikan ilmu, berdakwah dan menyatakan kebenaran.
Bahkan istilah ‘penunggang agama’ juga pernah mencetuskan pergaduhan pengguna media sosial dan bertambah buruk apabila ada yang melabel-labelkan golongan agamawan dengan perkataan tidak elok.
Wartawan Kosmo! Ahad, Siti A’isyah Sukaimi menemu bual Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Luqman Abdullah di pejabatnya di Putrajaya baru-baru ini bagi mengupas isu ini.
Kosmo! Ahad: Akhir-akhir ini ramai menuding jari kepada sesetengah agamawan atau ilmuan Islam dengan mendakwa menggunakan agama untuk kepentingan peribadi atau dalam erti kata lain ‘penunggang agama’ dalam mempe­ngaruhi masyarakat dengan hujah-hujah agama. Bagaimana Datuk melihat isu ini?
Dr. Luqman: Pertama kita kena takrif apa maksud penunggang agama. Kalau maksud menggunakan agama untuk tujuan tertentu yang tidak selaras dengan agama, kita boleh bersetuju itu satu perkara tidak patut berlaku. Bukan sahaja golongan agamawan, tapi yang tidak kita letakkan dalam kelompok agamawan pun, mungkin boleh terlibat. Sebagai contoh, golo­ngan peguam gunakan kepakaran undang-undang meraih sesuatu tidak selaras dengan apa dipelajari. Gunakan kuasanya melakukan sesuatu tidak selaras dengan kuasa diberikan kepadanya.
Ia boleh berlaku semua sektor, cuma apabila melibatkan agamawan, ia mencetuskan sedikit perhatian awam kerana mereka dilihat sebagai golongan yang sepatutnya membimbing masyarakat ke arah kebaikan, membawa nilai persaudaraan, kepatuhan kepada hukum dan sebagainya. Tetapi apabila mereka gunakan kedudukan sebagai agamawan untuk meraih kepen­tingan tertentu, peribadi dan sebagainya, maka ia dilihat sebagai penunggang kepada agama.
Isu ini bagi saya kena takrifkan dulu apa maksud menunggang agama supaya kita tidak mudah melabelkan sesuatu perkara yang dilakukan golongan agamawan terus dicop sedemikian.
Sedangkan kadang-kadang yang dilaksanakan itu semata-mata untuk beri nasihat, dakwah, menyatakan kebenaran dan sebagainya. Kadang-kadang agamawan diletakkan situasi yang dilihat sebagai negatif bila guna istilah penunggang agama.
Sejauh mana seriusnya isu ini dan kemudaratan dibawa mereka kepada agama dan ummah secara keseluruhan?
Kalau maknanya menggunakan untuk tujuan bukan dibenarkan syarak, menggunakan popularitinya dan ilmu sebagai seorang agamawan untuk mendapatkan sesuatu kepentingan peribadi contohnya, atau menipu orang ramai de­ngan kedudukan, itu kita setuju satu perkara tidak boleh dibiarkan berlaku dalam masyarakat. Cuma melihat perkara ini, saya sangat risau istilah penunggang agama digunakan secara tidak tepat.
Ia akan melibatkan sebahagian besar pendakwah dan alim ulama yang bekerja setiap hari untuk agama Islam, akhirnya mereka ‘dicop’ sebagai penunggang agama, sedangkan apa yang berlaku, mereka me­nyatakan kebenaran, menasihati pihak tertentu dalam urusan kehidupan supaya orang ramai menghayati kehidupan beragama. Apabila ‘dicop’ begitu, ia memberi pandangan negatif kepada sebahagian besar agamawan yang ikhlas melaksanakan tanggungjawab.
Tetapi kita setuju kalau betul dia gunakan agama untuk tujuan tertentu meraih kepenti­ngan peribadi, mendapat apa-apa tidak selaras dengan agama Islam, saya setuju perkara itu.
Saya tidak berapa suka untuk kita gunakan istilah penunggang agama kerana ia memberi satu keadaan tidak baik kepada agamawan itu sendiri, sedangkan mungkin ada kes-kes terpencil yang tidak betul mereka lakukan.
Kita menyamaratakan sesuatu perkara, ia boleh membawa kepada implikasi  tidak baik.
Bagaimana mahu kenal ilmuan atau agamawan yang ikhlas dalam menyampaikan dakwah dan mereka yang menggunakan Islam untuk kepentingan peribadi?
Islam meletakkan perkara positif kepada semua orang. Sebab itu orang Islam itu dikatakan semuanya adil, bermaksud baik. Sama juga kita meletakkan kepada agamawan. Kita me­nyamaratakan agamawan ini ikhlas bekerja untuk agama Allah. Itu yang sahih kepada kita, tidak tahu dalam hati mereka.
Tetapi apa yang kita nilai apabila berlaku tindakan daripada mereka dan jika ia menyalahi etika, undang-undang dan peraturan, maka kita katakan ia tindakan salah berasaskan peraturan, kod amalan tertentu dan etika sebagai agamawan, etika sebagai mufti contohnya, hakim, penjawat awam dan polis. Jadi kita letakkan mengikut kes, bukan berasaskan dia itu agamawan, polis, hakim, ahli politik. Pada asasnya semua orang Islam itu baik, adil, tidak jahat, tetapi kalau berlaku kesalahan kita selesaikan kesalahan yang dilakukan itu. Ini asas diajar Islam, kita tak menuduh golongan itu begitu atau begini.
DR. LUQMAN memberitahu, jika seseorang berakhlak baik, dia tidak mudah menggelar, melabel atau menghentam orang lain. – FAISOL MUSTAFA
Adakah label sebagai penunggang agama ini menjadi antara punca perpecahan umat Islam pada masa ini?
Dalam al-Quran pun Tuhan ada menyebut, jangan kita gelar orang itu begitu dan begini. Kalau kita berikan label, konotasi tidak baik kepada golongan tertentu, ia  membentuk sesuatu persepsi kepada masyarakat bahawa golo­ngan tertentu ini begitu sifatnya, sedangkan mungkin sifat individu dan bukan golongan itu secara keseluruhan.
Jadi, kita kena balik semula kepada asas agama, kita tak bersifat buruk sangka kepada seseorang dan sentiasa bersifat baik kepada semua orang. Cuma kalau berlaku kesalahan, kita perlu ta­ngani kesalahan itu dengan sesuai sama ada menasihatkan, hukuman jika perlu dihukum atau penjara.
Bagaimana Datuk melihat isu label melabel antara dua kelompok agamawan di negara ini yang ingin menonjol sebagai kumpulan dianggap benar sebagai sesuatu yang semakin parah hingga menyebabkan masyarakat berasa keliru?
Asasnya perlu kita lihat ialah akhlak individu itu. Kalau seseorang itu mempunyai akhlak baik, dia tidak mudah untuk menggelar, melabel, tohmah dan hentam orang lain. Itu balik kepada akhlak dan adat seseorang. Jika kita boleh jaga akhlak dan ia penting dalam agama Islam. Prinsip dalam Islam dan perlu dijaga apatah lagi jika dia seorang agamawan.
Seorang agamawan perlu meletakkan nilai tinggi dalam perbicaraan dengan tutur kata, tingkah laku dan tindakan. Jika tidak dapat diamalkan oleh agamawan, tentu akan mencetuskan perkara tidak baik kepada masyarakat umum sebab mereka mempunyai pengikut. Dia pemimpin kepada masyarakat tertentu.
Bila dia pemimpin kepada golongan dan pengikut tertentu, segala tingkah laku, tutur kata akan menjadi ikutan pengikut. Kita cukup bimbang bila pe­mimpin bersifat tiada akhlak, pengikutnya akan ikut apa dilakukan oleh pemimpin. Maka tersebarlah perkara tidak ber­akhlak berkenaan dimulai oleh seorang pemimpin tidak ber­akhlak dan diikuti pengikut.
Kebiasaannya pengikut akan pergi lebih daripada apa yang disebut pemimpin. Seorang pe­mimpin itu mungkin menyebut perkara dalam keadaan tidak baik, cara tidak betul atau ­berakhlak, kadangkala pengikut buat tindakan melebihi apa disebut atau dimaksudkan pe­mimpin.
Pengikut tidak dapat berfikir secara luas seperti pe­mimpin. Pemimpin kadang-kadang tidak bermaksud sampai ke tahap itu, tapi pengikut menjangkau tahap dikehendaki pe­mimpin.
Jadi pemimpin agama perlu mempunyai akhlak yang menjadi model kepada pengikutnya. Agamawan menjadi jurubicara kepada masyarakat, penasihat, ‘role model’ dan mereka ini perlu le­bih berhati-hati dalam tindakan dan tutur kata. Kita bimbang ada pengikut yang taasub, jadi kebijaksanaan pemimpin perlu kawal murid dan pengikut supaya tak berlaku taasub melampau kepada ketua masing-masing.
MASYARAKAT Islam akan menjadi lebih hebat dan disegani jika mempunyai kepimpinan yang mempunyai akhlak terpuji. – GAMBAR HIASAN
Segelintir agamawan ada yang terpalit dengan isu termasuk kes moral, sehingga ada yang dijatuhi hukuman oleh mahkamah atas pelbagai ke­salahan. Agamawan ini popular, ramai pengikut selain pernah berkongsi ilmu di pentas media (televisyen, radio dan sebagainya). Ini sedikit seba­nyak menjejaskan rasa hormat masyarakat terhadap agamawan. Apa saranan Datuk terhadap golongan ini?
Dalam Islam balik kepada asasnya, pintu taubat sentiasa terbuka. Allah sangat menerima taubat, Maha Pengampun dan Dia menerima sebarang taubat daripada hamba-Nya yang ikhlas. Itu perkara pertama perlu dibuat bagi seseorang yang bersalah.
Kedua, bila kita taubat, kita menginsafi perkara yang dilakukan dan perlu berubah daripada kelakuan, menyesal dan tidak mengulangi perbuatan itu. Ia asas semua kesalahan yang dilakukan manusia, sama ada kesalahan dengan Allah atau makhluk lain. Jika kesalahan kepada makhluk, kena kembalikan hak orang ber­kenaan.
Hubungan seorang manusia dengan Allah, perlu ada konsep kembali bertaubat. Cuma isu besar berlaku bila melibatkan agamawan dan timbul satu persepsi negatif kepada golongan ber­kenaan. Balik semula kepada awal perbinca­ngan tadi. Jangan kita ‘generalise’ kepada semua orang.
Mungkin A lakukan kesalahan, tapi jangan umumkan B, C, D, dan orang lain pun macam dia. Sebab dalam dunia ini, ada ramai orang ikhlas kepada Allah, bukan semua orang begitu dan kes juga boleh berlaku semua orang. Ke­salahan, kesilapan boleh berlaku kepada semua orang, yang pen­ting sesiapa sahaja perlu kembali bertaubat kepada Allah dan orang lain yang melihat perkara itu perlu mengadili dengan betul.
Pada pandangan Datuk, perlukah diwujudkan badan atau jawatankuasa khas untuk pantau atau selia kelayakan integriti agamawan dari masa ke masa?
Dalam pentadbiran agama ­Islam, peraturan dan etika perlu dipatuhi semua orang. Di ­peringkat kerajaan untuk buat etika tertentu kepada golongan agamawan, bagi saya ia telah pun ada dalam sistem pentadbiran sekarang. Tak perlu menambahkan perkara yang a­khirnya kita sendiri tak dapat melaksanakannya.
Jadi balik semula kepada sejauh mana kita patuh kepada akhlak Islam yang kita bawa dan agama dianuti ini. Sekiranya kita tanam sifat itu dalam pendidikan dan pentadbiran, maka perkara itu boleh terjadi dengan baik dalam sistem bermasyarakat negara kita. Maka tidak perlu ada badan khusus sebab (contoh) SPRM, polis, penguat kuasa, hakim mahkamah sudah ada.
Apakah hukuman atau tindakan terbaik bagi agamawan yang dibuktikan bersalah? Apakah perlu ditarik semula ‘title’ atau kelayakan mereka?
Seseorang itu berpeluang untuk bertaubat dan orang yang telah bertaubat sama dengan orang tidak ada dosa. Jadi tidak boleh kita kata satu kesalahan dilakukan seorang manusia, kita tutup terus peluang kehidupannya di dunia ini. Peluang untuk bertaubat, berubah itu apa yang penting perlu ada sikap untuk berubah kepada lebih baik.
Masyarakat perlu  me­nerima sebagaimana pesalah lain yang telah menjalani hukuman untuk balik kepada masyarakat, bekerja dan hidup dalam masyarakat.
Kita jangan tutup peluang seseorang, perlu diberi peluang kedua untuk sesiapa sahaja bukan sahaja kepada agamawan, tapi semua pihak yang melakukan kesalahan. -KOSMO! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN