PIRING vinil atau dikenali sebagai piring hitam yang sudah rosak kebiasaannya akan dibuang kerana sudah tidak boleh digunakan lagi.
Namun bagi Lau Jing Xi, 28, piring vinil yang sudah rosak boleh diberi nafas baharu dengan menjadikannya sebagai kanvas lukisan.
Menjadikan aktiviti melukis di atas piring vinil sebagai hobi, Jing Xi kini mampu berbangga apabila namanya mula dikenali dalam kalangan pelukis lain di negara ini.
Malah, dia berpeluang menganjurkan pameran solo pertamanya pada Disember tahun lalu.
Pameran bertajuk ‘Escapism 2.0’ itu menampilkan koleksi lukisan yang dihasilkan oleh Jing Xi pada piring hitam yang bertemakan pemandangan.
Bercerita tentang hobi unik tersebut, anak kelahiran Kuala Lumpur itu berkata, ia bermula secara tidak sengaja ketika dunia dilanda pandemik Covid-19.
“Saya mula melukis sejak melanjutkan pelajaran di Amerika Syarikat. Kemudian pada 2019, saya kembali semula ke tanah air.
“Tidak lama kemudian, dunia dilanda pandemik.
“Memandangkan kita semua terperangkap di dalam rumah ketika itu, saya terfikir perlu ada satu hobi untuk mengisi masa lapang.

“Ketika itu, ibu saya secara kebetulan mula membuat proses ‘deep cleaning’ pada rumah kami dan terjumpa timbunan koleksi piring hitam lama yang sudah rosak.
“Ibu kemudian memberikan piring-piring tersebut kepada saya.
“Dia memberi kebebasan kepada saya untuk melakukan apa sahaja pada piring tersebut,” kongsinya.
Memandangkan Jing Xi mempunyai bakat melukis sejak kecil, dia mengambil peluang itu untuk mula berkarya di atas piring hitam dan koleksi cakera padat kosong yang ada di rumahnya.
“Ketika membesar, saya sememangnya sedar mempunyai bakat dalam seni lukisan, namun tidak pernah menggunakan kelebihan itu secara serius untuk menjana pendapatan.
“Saya cuma anggap melukis itu sekadar hobi bagi mengisi masa lapang,” katanya.
Kini, Jing Xi sudah pun menghasilkan ratusan karya seni di atas piring hitam dan cakera padat untuk dijadikan koleksi peribadi serta dijual kepada orang ramai.
Ujarnya, memandangkan dia amat menyukai pemandangan, kebanyakan lukisan yang dihasilkannya adalah bermotifkan alam semula jadi.
“Saya sukakan sesuatu yang ‘dreamy’ dan kebanyakan hasil lukisan saya dihasilkan dalam rona-rona lembut serta pastel bagi menyerlah tema itu,” katanya.
Jing Xi juga memberitahu, dia seronok apabila aktiviti masa lapangnya itu dapat memberikan nafas baharu kepada sesuatu yang dianggap sudah tidak berguna lagi.
Selain untuk simpanan sendiri dan dijual, pekerja bidang pemasaran digital itu juga sering menganjurkan kelas melukis di atas permukaan piring hitam dan cakera padat.
Menerusi kelas berkenaan, Jing Xi dapat berkongsi hobi tersebut bersama mereka yang berminat untuk mencuba seni itu.














