SIKAP rakyat Malaysia yang segan menggunakan Bahasa Melayu (BM) mendapat perhatian Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DPB), Dr. Hazami Jahari baru-baru ini.
Bagi menggambarkan kekesalannya, beliau menyatakan bahawa negara ini sebagai paling pelik di dunia kerana mempunyai bahasa sendiri tetapi segan digunakan.
Adakah kenyataan itu mencerminkan sikap warga Malaysia ketika ini.?
Sasterawan Negara, Datuk Dr. Lim Swee Tin ketika mengulas isu tersebut berkata, sikap segan itu berlaku secara terbuka dan sangat meluas terutama di tempat-tempat yang strategik.
“Apakah ketika seluruh rakyat mampu memahami malah menguasai BM kita memilih berkomunikasi atau mengutamakan bahasa asing?
“Mesyuarat misalnya, seolah-olah kita kurang sempurna atau tidak berdaya maju andaikata tidak dibincangkan dalam bahasa luar.
“Sayang kepada bahasa sendiri jelas kian menipis,” katanya kepada Kosmo!
Beliau berkata, restoran dan premis perniagaan yang tanpa segan mempamerkan bahasa asing jelas tidak menghormati sedikit pun bahasa rasmi negara.
“Ada yang saya yakin berasa rendah diri kalau menggunakan bahasa sendiri. Bahasa ini kadang-kadang disifatkan serba kekurangan, belum mencukupi kosa kata termasuk tidak lengkap istilahnya.
“Saya berbalik kepada sikap dan definisi kecintaan kita sebagai warganegara kepada bahasa yang menjadi penanda kepada identiti kebangsaan kita,” katanya.
Swee Tin berkata, pelbagai kosa kata yang sentiasa relevan untuk penggunaan semasa, termasuk istilah sains dan teknologi, ekonomi serta perubatan disediakan akan tetapi ia diabaikan.
“Kepelikan itu mesti segera diubati sebelum menjadi parah,” katanya.
Penerima Anugerah Sastera Negara, Datuk Rahman Shaari berkata, sikap segan itu memang berlaku dalam kalangan sebahagian penduduk Malaysia.
Rahman berkata, di forum atau ceramah yang dihadirinya, penggunaan bahasa dicampuradukkan kerana BM digunakan buat sementara waktu dan tidak digunakan sepenuhnya.
Pensyarah Kanan Program Bahasa Melayu Profesional, Universiti Malaya, Dr. Rohaidah Haron berkata, hakikat tersebut sedang berlaku sekarang.
“Pengabaian terhadap BM akan menghakis identiti penting negara Malaysia, sedangkan ia semakin mendapat perhatian dan menjadi tumpuan untuk dipelajari oleh rakyat dari luar negara.
“Kita pula tidak meletakkan BM itu pada tempat yang sewajarnya.
“Negara-negara maju yang kita contohi tidak pernah mempertaruhkan kedudukan bahasa kebangsaan mereka atas nama kemajuan,” katanya.
Beliau berkata, pembelajaran BM kini bukan lagi seharusnya mempelajari sistem tatabahasa semata-mata tetap penekanan terhadap sikap cinta akan bahasa dan semangat menggunakannya dengan betul amat penting untuk dilaksanakan segera.
“Jika tidak, generasi muda akan terus terdedah dengan penggunaan bahasa yang rosak dan generasi-generasi selanjutnya sudah tentu akan mewarisi bahasa yang rosak juga.
“Generasi moden hari ini sepatutnya mempertahankan kemurnian BM sebagai identiti negara dan bukan menjadi generasi yang menghancurkan bahasa itu sendiri,” ujarnya.















