fbpx
KEMALANGAN membabitkan tiga kenderaan sehingga mengorbankan sepasang suami isteri, Muzaffa dan Zainora di Jalan Seremban - Kuala Pilah, di Bukit Putus menghala ke Seremban kelmarin. – IHSAN POLIS

Sambutan tahun baharu momen terakhir bersama ibu bapa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

REMBAU – Perjalanan pulang sepasang suami isteri selepas menghantar anak sulung mereka ke Kolej Yayasan Negeri Sembilan di Gentam, Kuala Pilah berakhir tragedi apabila kedua-duanya maut dalam kemalangan di Jalan Seremban – Kuala Pilah, di Bukit Putus menghala Seremban, di sini, kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 6.45 petang itu, Zainora Zainal, 50, meninggal dunia di lokasi kejadian manakala suaminya, Muzaffa Othman, 52, menghembuskan nafas terakhir ketika menerima rawatan di Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ), Seremban.

Kedua-duanya menaiki kereta jenis Perodua Axia bersama seorang lagi anak mereka, Nur Adiya Fariha, 15, yang cedera parah dan dirawat di HTJ. Nahas itu membabitkan dua lagi ken­deraan iaitu Proton Exora dan Perodua Kancil.

Menurut anak sulung pasa­ngan berkenaan, Nur Alyamyzara, 19, dia menerima berita kemalangan mengorbankan ibu, bapanya daripada kakak sepupunya kira-kira pukul 8 malam sebelum dijemput bapa saudaranya untuk ke hospital satu jam kemudian.

“Ibu, ayah dan adik dalam perjalanan pulang ke rumah di Taman Cempaka, Se­nawang selepas hantar saya. Masih terngiang-ngiang nasihat mereka ketika menghantar ke kolej untuk belajar rajin-rajin.

“Ketika ini adik masih ditahan di wad selepas cedera parah di hidung, badan dan muka selain dia belum mengetahui apa yang berlaku kepada kedua ibu bapa kami,” kata penuntut Diploma Kulinari itu.

Nur Alyamyzara berkata, dia tidak menyangka sambutan tahun baharu di Port Dickson menjadi antara momen terakhir bersama kedua ibu bapanya.

“Sudah lama kami tidak me­nyambutnya kerana kekangan kerja bapa sebagai pengawal keselamatan.

“Impian ayah untuk menyambut raya pertama dengan memakan persalinan berwarna kuning diraja juga tidak kesampaian.

“Bukan itu sahaja, hasrat ayah untuk melihat adik melanjutkan pengajian dan menghadiri konvokesyen saya juga tidak kesampaian apabila dia telah meninggalkan kami,” ujarnya yang memberitahu ibu dan ba­panya dikebumikan di Tanah Perkuburan Felda Jelai 1, Tampin.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohamad Hatta Che Din berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku apabila Proton Exora dipandu lelaki berusia 22 tahun dari Seremban ke Kuala Pilah gagal mengawal kenderaan dan masuk ke laluan bertentangan sebelum melanggar Perodua Kancil dan Perodua Axia.

“Kesemua kenderaan terlibat terbabas ke penghadang besi sebelah kiri jalan arah ­Seremban. Akibat kemalangan itu, ­penumpang hadapan Pe­rodua Axia mengalami kece­deraan parah di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

“Manakala pemandu kereta jenis Perodua Axia juga mengalami kecederaan parah di kepala disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan di Zon Kecemasan Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) di Seremban,” katanya di sini.

Menurutnya, pemandu kereta jenis Proton Exora dipercayai patah kedua-dua belah kaki manakala kesemua pemandu serta penumpang Perodua Kancil hanya cedera ringan.

Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN