BANGI – “Saya sudah berpakat dengan bakal isteri untuk tinggal di rumah bapa bagi sama-sama menjaga dan menguruskan dua anak saudara, Uwais dan Sofea.”
Demikian ujar Alif Luqman Mazupi, 26, yang merupakan adik bongsu Khairul Ikhwan, 32, yang maut dalam kemalangan ngeri meragut tujuh nyawa di Lebuh raya Utara-Selatan arah utara berhampiran Ayer Keroh, Melaka pada 23 Disember lalu.
Kemalangan sama turut meragut nyawa isteri Khairul Ikhwan, Fadzlenna Ramli, 32, anak bongsu pasangan berkenaan, Muhammad Umar, 2, serta ibu bapa Fadzlenna iaitu Ramli Ab. Wahab, 66 dan Fauziah Jaafar, 69.
Alif Luqman yang mesra dipanggil ‘Ayah Man’ oleh dua beradik yatim piatu itu berkata, dia akan membantu bapanya, Datuk Mazupi Abdul Rahman untuk menjaga Muhammad Uwais Al-Qarni, 7 dan Nur Sofea Humaira, 4.
“Saya bakal melangsungkan pernikahan pada Mei nanti, saya sudah berpakat bersama bakal isteri bagi sama-sama menjaga dan menguruskan Uwais dan Sofea.
“Bakal isteri sebenarnya yang cadang untuk duduk di sini selepas berkahwin bagi sama-sama membantu ibu bapa saya menjaga dua anak buah sebab dia tahu saya sayang dan rapat dengan mereka.
“Saya bekerja di Bandar Sri Damansara, jadi saya akan aturkan kerja, mungkin saya akan minta bekerja dari rumah jika perlu untuk bantu uruskan anak-anak buah seperti hantar dan ambil pulang sekolah bergilir dengan bapa saya,” katanya ketika ditemui Kosmo! di sini semalam.
Bercerita lanjut, katanya, Uwais dan Sofea sudah semakin ceria namun tidak pernah bercerita mengenai kejadian yang menimpa keluarga mereka.
“Setakat ini mereka belum pernah lagi bercerita mengenai kejadian itu, kami sekeluarga juga tidak mahu sentuh hal itu sebab mereka pun baru nak sembuh. Jadi, kita tak nak mereka trauma bila teringat-ingat semula kejadian itu.
“Pada awalnya Uwais ada tanya mana ibu bapa mereka, waktu itu kami masih belum maklumkan pada mereka sehinggalah Pakar Psikiatri Hospital Melaka panggil kami semua berbincang dan dia kata seeloknya beritahu secepat mungkin,” katanya.
Jelasnya, Uwais menangis semasa dimaklumkan oleh datuknya bahawa ibu bapa, datuk nenek serta adik bongsu sudah meninggal dunia akibat nahas.
“Bapa kami maklumkan pada mereka berkenaan kemalangan itu ditemani kami sekeluarga.
“Kami beritahu apa yang berlaku ketika itu, Uwais faham dan dia menangis, tapi kami cakap kepadanya yang kami semua ada untuk mereka,” katanya.
Ditanya mengenai hubungannya bersama arwah Khairul Ikhwan, katanya, mereka adik-beradik mempunyai hubungan yang sangat rapat.
“Masa arwah masih bujang, kami tiga beradik lelaki memang berkongsi bilik. Buat apa-apa sekali, sebab dia abang jadi kami adik-adik selalu ikut apa dia buat.
“Hubungan dengan anak-anak buah juga rapat, seperti Uwais dan Sofea waktu mereka lahir saya masih belajar di universiti, jadi bila cuti semester saya dah biasa bantu jaga mereka semasa bayi,” katanya.
Sementara itu, Mazupi, 64, berkata, dua cucunya kelihatan semakin ceria namun sesekali masih mencari ibu bapa mereka.
“Kami akan jaga dua cucu ini memandangkan hubungan antara kanak-kanak itu dengan ibu dan bapa saudara sangat rapat.
“Kadang-kadang adiknya (Sofea) ada panggil umi, tapi agaknya dia teringat.. jadi dia diam balik.
“Macam abang, dia banyak diam juga tidak ada bertanya atau cerita pasal kejadian tersebut.
“Dalam tempoh seminggu ini selepas kemalangan, ramai yang datang melawat mereka. Baru-baru ini ada guru besar datang melawat Uwais, dia memang seronok guru dia datang melawat,” tambahnya.














