Orang ramai mengunjungi Jalan Masjid India berhampiran lokasi tanah jerlus yang telah dibuka semula kelmarin. - SHIDDIEQIIN ZON

Ramai orang Sabah, Sarawak serbu Jalan Masjid India

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUALA LUMPUR – Bersempena pembukaan sepenuhnya Jalan Masjid India, di sini selepas kejadian malang menimpa seorang pelancong wanita dari India pada Ogos lalu, ramai pelanggan dari luar ibu negara mula memenuhi kawasan beli belah terkenal itu semalam.

Tinjauan Kosmo! di kawasan tumpuan itu mendapati ramai pelanggan yang memenuhi kawasan tersebut rata-rata adalah pengunjung dari luar Kuala Lumpur yang datang untuk membuat persiapan awal mencari kelengkapan Hari Haya Aidilfitri yang dijangka kira-kira tiga bulan lagi.

Seorang pelanggan, Norhayati Abd. Rahman, 60, dari Kampung Ajai, Raub, Pahang berkata, sempena cuti umum Tahun Baharu 2025, dia dan keluarga datang mencari kelengkapan raya awal bagi mengelakkan kesesakan.

“Saya dengar Jalan Masjid India ini telah dibuka semalam (kelmarin), jadi saya sekeluarga datang ke sini beli kelengkapan hari raya. Kali pertama saya lihat lokasi kejadian tanah mendap itu, rasa takut juga untuk lalu.

“Namun saya yakin dengan kerja yang telah dilakukan pihak berwajib dalam memastikan tempat ini selamat. Saya harap satu pemeriksaan secara berkala terus dilakukan agar kejadian sama tidak berlaku lagi,” katanya.

Menurut pengawal keselamatan, M. Surendran, 65, selepas dibuka semula kepada awam kelmarin, kawasan itu terus diserbu orang ramai bagi membeli bara­ngan keperluan.
“Lima bulan kawasan ini ditutup memang agak sunyi di sini, saya sudah bertugas di sini hampir 30 tahun. Tapi apa yang saya nampak ramai pelancong atau pelanggan adalah dari luar Kuala Lumpur.

“Ada yang datang dari Sabah dan Sarawak, Indonesia pun ada. Kebanyakan mereka datang untuk berbelanja. Saya rasa kawasan ini akan dipenuhi pelanggan seperti biasa seperti tahun-tahun sebelumnya,” jelasnya.

Seorang peniaga, Ali Ibrahim Khan, 72, bagi menarik orang ramai yang masih bimbang untuk berkunjung ke situ, ramai peniaga mula memberikan promosi harga terhadap barangan jualan.

“Ramai peniaga mula perang harga dengan menawarkan ‘harga runtuh’, sebab lama tidak ada pelanggan seperti ini, saya berharap keadaan di kawasan ini semakin meriah,” katanya.

Jelasnya, dia berharap selain di Jalan Masjid India, jalan-jalan lama di lokasi lain sekitar Kuala Lumpur juga perlu dilakukan pemeriksaan berkala kerana pembangunan yang dilakukan di ibu negara mungkin memberi kesan kepada kawasan-kawasan lama yang tidak diselenggara.

“Banyak lagi tempat atau jalan yang perlu diberi perhatian, ini disebabkan pembangunan baharu di sekitar Kuala Lumpur yang semakin pesat,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN