KOTA TINGGI – Bapa Shakirin Mohammad tidak menyangka anaknya itu akan pergi dahulu sebelumnya, malah pemergian arwah adalah kehilangan anaknya yang kedua dalam tempoh dua tahun ini.
Mohammad Abu Bakar, 61, berkata, dia akan sentiasa merindui Shakirin, 28, yang juga anak sulung daripada empat beradik kerana hanya arwah yang tinggal bersama dia serta isteri.
“Selepas ini, saya tinggal berdua dengan isteri di rumah. Anak saya empat orang sahaja, namun pada 2022, anak kedua saya meninggal dunia kerana sakit.
“Sekarang anak sulung pula pergi dahulu sebelum saya. Saya sedih tinggal dua sahaja lagi anak yang kami ada,” katanya.
Menurutnya, dia selalu berpesan kepada Shakirin supaya menjaga diri setiap kali keluar bekerja, namun tidak sangka pada Rabu lalu, arwah keluar tanpa memberitahu apa-apa.
“Kalau dia nak bawa lori, dia mesti akan cakap nak pergi ke mana. Saya akan pesan jaga diri.
“Rabu lalu, dia tiba-tiba keluar bawa kereta itu (Proton Waja). Itu memang kereta dia, tetapi dia tak pernah bawa, sebab dia beri saya pakai. Hari itu, dia keluar tak beritahu nak pergi mana dan tak balik-balik,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan, misteri sebuah Proton Waja yang dijumpai dalam keadaan dihurung lalat di tepi jalan sebuah ladang di Kilometer 26, Jalan Jemaluang-Kahang, Mersing pada Sabtu lalu membawa kepada penemuan mayat Shakirin di dalam but kereta itu.
















